TEKS VERBATIM UCAPAN
YB DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
MENTERI DALAM NEGERI
PERHIMPUNAN BULANAN KEMENTERIAN DALAM NEGERI (KDN) ANJURAN POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM) BAGI BULAN JUN 2026
8 Jun 2026 (Isnin)
Auditorium Aras 8, Setia Perkasa 8
Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, bersyukur kerana hari ini kita dapat meneruskan Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri. Istimewanya perhimpunan kali ini ialah kerana kita mengangkat tema yang khusus. Kita akan melancarkan beberapa pelan tindakan berkaitan dadah, jenayah siber dan rasuah. Bahkan pentomen yang dipersembahkan tadi mengambil inspirasi daripada kisah benar yang mesejnya sangat sesuai dan memberikan peringatan yang sangat berbekas kepada kita semua.
Saya juga mengalu-alukan kepulangan Datuk KSU. Walaupun saya tidak sempat berjumpa beliau semasa di Tanah Suci, saya sentiasa mengikuti perkembangan beliau. Maklumlah, lebih 1.7 juta jemaah daripada 165 negara berkumpul di satu tempat. Namun apa yang saya ingin sampaikan ialah ketika berada di Arafah, tempat yang sangat mustajab untuk berdoa bermula selepas Zuhur pada 9 Zulhijjah sehingga Maghrib, perasaan saya cukup tenang.
Saya tidak banyak berada di khemah. Saya lebih banyak menghabiskan masa di musolla. Setelah selesai mendoakan perkara-perkara yang berkaitan dengan diri, keluarga dan sahabat handai, fikiran saya banyak tertumpu kepada organisasi dan tanggungjawab besar yang kita pikul di Kementerian Dalam Negeri.
Sebab itu saya berdoa dengan bersungguh-sungguh supaya diberikan kekuatan untuk terus istiqamah, supaya tidak diuji dengan ujian yang tidak mampu kita pikul. Saya juga memohon petunjuk daripada Allah SWT agar keputusan yang kita buat tidak memudaratkan diri kita, organisasi, masyarakat dan negara. Saya minta diberikan petunjuk, hikmah dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Saya juga mendoakan agar keluarga besar KDN dapat terus memupuk semangat kerja berpasukan.
Seorang diri kita tidak mampu. Kita hanya menjadi kuat apabila dapat membulatkan tekad dan mengeratkan kerjasama.
Dalam hal ini saya teringat kepada pesanan Khalifah Umar Abdul Aziz. Beliau pernah berkata bahawa sesiapa yang menjaga urusan akhiratnya, Allah SWT akan memudahkan urusan dunianya. Umar Abdul Aziz dilantik sebagai khalifah oleh Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Setelah beliau diangkat menjadi khalifah, beliau pergi ke masjid dan menghimpunkan orang ramai.
Beliau berkata kepada mereka bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai kewajipan untuk mentaatinya kerana beliau tidak dipilih oleh rakyat, sebaliknya dilantik melalui wasiat khalifah sebelumnya. Namun orang ramai menyatakan persetujuan dan kerelaan mereka untuk menerima beliau sebagai pemimpin.
Dalam pidato beliau yang masyhur itu, Khalifah Umar Abdul Aziz menyebut bahawa tugas seorang khalifah bukanlah untuk menghimpunkan kekayaan. Katanya, tugas seorang khalifah ialah menguruskan amanah. Jawatan datang bersama amanah, tanggungjawab dan pertanggungjawaban. Dalam pidato yang sama, beliau mengingatkan bahawa jika kita menjaga urusan akhirat, Allah SWT akan menjaga urusan dunia kita.
Sebab itu apabila kita mengangkat tema yang besar pada pagi ini, khususnya berkaitan jenayah siber, kita sebenarnya sedang berdepan dengan satu ancaman baharu yang semakin mencabar.
Dahulu, untuk melakukan jenayah, penjenayah perlu berhadapan dengan mangsanya. Hari ini, jenayah siber hanya memerlukan telefon pintar dan sambungan internet. Ia boleh berlaku dari mana-mana sahaja. Trend jenayah ini pula meningkat dari semasa ke semasa, bukan sahaja di negara kita tetapi juga di seluruh dunia.
Oleh itu, keupayaan Polis Diraja Malaysia, khususnya pasukan penyiasat jenayah komersial, unit siasatan digital dan agensi-agensi penguatkuasaan lain perlu terus dipertingkatkan. Kita perlu menyesuaikan diri dengan ancaman baharu ini.
Banyak sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di dalam dan luar negara berjaya kita kesan, bongkar dan tumpaskan hasil kerjasama pelbagai pihak. Namun kita harus mengakui bahawa kejayaan tersebut memerlukan proses risikan dan pengintipan yang panjang serta memakan masa.
Baru-baru ini saya berada di Johor dan diberi taklimat oleh pasukan Jenayah Komersial. Saya akui bahawa kekangan terbesar kita ialah kekuatan pasukan. Sebagai contoh, di Batu Pahat terdapat hanya enam pegawai penyiasat untuk mengendalikan kes-kes melibatkan lebih 650,000 penduduk, sembilan Dewan Undangan Negeri dan empat kawasan Parlimen.
Saya diberitahu tentang satu kes melibatkan seorang pensyarah universiti yang menjadi mangsa penipuan dengan kerugian melebihi RM200,000.
Apakah pengajarannya?
Penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi. Untuk mengatasi jenayah siber, kita memerlukan kerjasama seluruh masyarakat. Rakyat perlu meningkatkan kepekaan dan kesedaran. Agensi penguatkuasaan perlu sentiasa meningkatkan keupayaan mereka. Pada masa yang sama, setiap individu perlu menjadi benteng pertama kepada keselamatan dirinya sendiri.
Banyak kes berlaku kerana sikap tamak, kurang pengetahuan, terlalu gopoh dan tergesa-gesa. Semua ini membuka ruang dan peluang kepada penjenayah untuk terus beroperasi.
Apabila kita bercakap tentang jenayah siber, dadah ataupun rasuah, sebenarnya kita sedang bercakap tentang usaha mempertahankan negara.
Pertahanan negara bukan hanya berlaku di sempadan. Pertahanan negara juga berlaku apabila seorang pegawai seperti yang kita lihat dalam pentomen tadi menolak tawaran rasuah. Pertahanan negara juga berlaku apabila pasukan polis (narkotik) berjaya membanteras sindiket dadah. Pertahanan negara juga berlaku apabila pasukan penguat kuasa berjaya membanteras sindiket penyeludupan manusia.
Begitu juga apabila Agensi Antidadah Kebangsaan berjaya memulihkan seorang penagih dan membawanya kembali menjadi anggota masyarakat yang berguna. Itu juga adalah satu bentuk pertahanan negara.
Apabila seorang rakyat berjaya mengelakkan dirinya daripada menjadi mangsa penipuan siber kerana mempunyai kesedaran dan pengetahuan yang mencukupi, itu juga adalah satu bentuk pertahanan negara.
Semuanya adalah tindakan-tindakan kecil yang berasaskan integriti dan tanggungjawab, tetapi memberi kesan yang besar kepada keselamatan dan pertahanan negara. Itulah konteks yang saya ingin ajak kita semua lihat pada pagi ini.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia selaku tuan rumah yang mengangkat tema berkaitan rasuah pada hari ini.
Ada sebuah buku yang sangat popular sekitar lima puluh tahun dahulu yang ditulis oleh Profesor Syed Hussein Alatas. Buku itu bertajuk The Problem of Corruption. Buku ini diterbitkan sekitar tahun 1968. Yang menarik perhatian saya ialah bahagian penghargaan dalam buku tersebut. Lazimnya penghargaan diberikan kepada keluarga, isteri, anak-anak atau individu yang membantu penulis menghasilkan karya tersebut. Namun Profesor Syed Hussein Alatas mendedikasikan penghargaan itu kepada Abu Dzar al-Ghifari.
Apabila saya membacanya, saya tertanya-tanya mengapa beliau memilih Abu Dzar al-Ghifari.
Abu Dzar al-Ghifari pernah meminta satu jawatan daripada Rasulullah SAW. Baginda menjawab bahawa Abu Dzar tidak sesuai memegang jawatan tersebut kerana jawatan itu adalah amanah yang berat dan beliau tidak mampu memikulnya.
Malah Rasulullah SAW pernah berpesan bahawa jika Abu Dzar bermusafir bersama dua orang lagi sehingga mereka bertiga, janganlah beliau dilantik menjadi ketua rombongan tersebut. Namun Abu Dzar tetap merupakan seorang sahabat Nabi yang sangat hebat. Beliau menyertai banyak peperangan dan hidup sehingga zaman pemerintahan Saidina Uthman RA.
Pada zaman Saidina Uthman sebagai Khalifah, beliau pernah menegur Muawiyah yang ketika itu menjadi gabenor di Syam. Abu Dzar mempersoalkan kemewahan yang ditunjukkan oleh Muawiyah serta pembinaan istana yang besar. Beliau bertanya dari mana datangnya sumber kewangan tersebut. Jika menggunakan wang Baitulmal, itu adalah salah kerana wang itu bukan milik peribadi. Jika menggunakan wang sendiri sekalipun, beliau mempersoalkan sama ada ia melampaui keperluan dan membawa kepada pembaziran.
Muawiyah mempunyai hujahnya sendiri. Sebagai pemerintah di Syam yang berhadapan dengan kuasa besar seperti Rom dan Parsi, beliau berpendapat bahawa imej pemerintahan Islam juga perlu mencerminkan kekuatan dan kewibawaan.
Namun apa yang menarik ialah sensitiviti Abu Dzar terhadap soal penyalahgunaan kuasa, pemborosan, kemewahan melampau dan tanggungjawab kepada rakyat. Apabila beliau mengadu kepada Khalifah Saidina Uthman, beberapa tawaran diberikan kepadanya. Beliau ditawarkan jawatan tetapi menolaknya. Beliau ditawarkan untuk tinggal bersama pemerintah tetapi juga menolaknya.
Jika kita membaca kisah hidup Abu Dzar, beliau akhirnya meninggal dunia dalam keadaan sederhana di kawasan yang terpencil. Namun beliau dikenang sebagai seorang tokoh yang sangat tegas dalam soal amanah dan integriti. Sebab itulah Profesor Syed Hussein Alatas memilih untuk mendedikasikan bukunya kepada Abu Dzar al-Ghifari.
Mesejnya sangat jelas. Abu Dzar sangat sensitif terhadap penyalahgunaan kuasa, pemborosan, kemewahan yang melampau dan pengabaian tanggungjawab terhadap rakyat.
Oleh sebab itu, apabila kita mengangkat tema integriti pada hari ini dan melancarkan Pelan Tindakan Pembanterasan Rasuah Kementerian Dalam Negeri, ia sangat selari dengan tekad yang sentiasa disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Saya berharap seluruh pimpinan dan warga KDN, termasuk pasukan polis, menyambut hasrat ini dengan bersungguh-sungguh. Pelan yang akan dilancarkan nanti perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang nyata dalam organisasi kita.
Begitulah cara kita memberikan respons kepada hala tuju yang telah ditetapkan oleh kepimpinan negara.
Saudara dan saudari yang saya muliakan,
Baru-baru ini, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, ada satu perkara yang melibatkan kementerian kita dan saya telah pun berbincang mengenainya dengan Datuk KSU. Perkara tersebut berkaitan dengan siasatan SUHAKAM berhubung satu kes yang berlaku di Penjara Kamunting.
SUHAKAM telah menjalankan siasatan dan mengemukakan laporannya. Perkara itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. Prinsip kita sangat jelas. Jika sesuatu kes itu telah melalui proses siasatan yang sewajarnya, tidak kira oleh mana-mana badan sekalipun, dan disokong oleh bukti yang kukuh, saksi-saksi telah ditemu bual serta penemuan dibuat berdasarkan fakta yang jelas, maka prinsip kita tetap sama.
Yang benar itu benar. Yang salah itu salah.
Kita tidak akan mempertahankan perkara yang salah.
Jika terdapat keperluan untuk tindakan susulan atau siasatan lanjut, maka proses itu perlu diteruskan. Saya percaya Tan Sri Khalid (IGP) dan pasukan akan mengambil kira segala penemuan yang dikemukakan oleh SUHAKAM dalam melengkapkan apa-apa siasatan yang diperlukan.
Memang benar, berkata benar itu kadangkala pahit. Tetapi kesan jangka panjangnya jauh lebih baik.
Ini juga merupakan persoalan integriti dalam organisasi kita.
Pada masa yang sama, saya ingin menyatakan bahawa sepanjang tiga tahun saya berada di Kementerian Dalam Negeri, saya sangat berbangga dengan Jabatan Penjara Malaysia. Kreativiti dan inovasi yang ditunjukkan oleh jabatan ini dalam menguruskan pelbagai cabaran amat luar biasa.
Kita semua tahu bahawa penjara-penjara kita menghadapi isu kesesakan. Namun saya melihat sendiri bagaimana kepimpinan Jabatan Penjara tampil dengan pelbagai pendekatan kreatif untuk menguruskan keadaan tersebut. Mereka bukan sahaja menguruskan penghuni penjara, tetapi turut membangunkan pelbagai program pemulihan yang memberi impak besar kepada kehidupan penghuni. Mereka mempunyai program komuniti. Mereka mempunyai program dalam institusi. Mereka melaksanakan pelbagai inisiatif sehingga berjaya melahirkan para hafiz dalam kalangan penghuni penjara. Bayangkan seseorang yang melalui proses perundangan, disabitkan kesalahan dan sedang menjalani hukuman penjara, tetapi melalui bimbingan dan program yang dilaksanakan, akhirnya mampu menghafaz al-Quran.
Bagi saya, itu satu pencapaian yang luar biasa.
Ini menunjukkan bahawa kepimpinan Jabatan Penjara mempunyai visi yang jelas untuk mengubah kehidupan penghuni dan memberi mereka peluang kedua. Mereka juga menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat luar. Mereka mendapatkan penyertaan sektor swasta supaya turut memainkan peranan dalam menjayakan proses pemulihan.
Kita memberi peluang kepada penghuni untuk bekerja lebih awal dalam keadaan yang terkawal. Mereka mendapat pendapatan. Mereka boleh menghantar wang kepada keluarga di kampung. Mereka bekerja memasang badan motosikal, bekerja di kilang dan dalam pelbagai sektor lain. Saya sendiri pernah hadir menyaksikan sesi temu duga antara syarikat dan prospek yang terlibat.
Apa kesannya?
Penghuni tidak lagi berada sepenuhnya dalam institusi penjara. Mereka mula berinteraksi dengan masyarakat secara terkawal dan berperingkat.
Kesan program ini amat besar.
Apabila mereka selesai menjalani hukuman, kadar residivisme mereka sangat rendah. Daripada kira-kira 800 orang yang melalui program seperti ini dan dibebaskan, hanya seorang yang kembali melakukan kesalahan. Sebaliknya, jika seseorang dibebaskan terus tanpa melalui proses penyesuaian seperti ini, kadar mereka kembali melakukan kesalahan adalah jauh lebih tinggi. Ini adalah satu kisah kejayaan yang perlu kita hargai.
Sebab itu saya tidak mahu (persepsi) masyarakat menilai keseluruhan Jabatan Penjara hanya berdasarkan satu atau dua insiden semata-mata, sedangkan begitu banyak kejayaan besar telah dicapai oleh jabatan ini.
Dalam hal ini, saya dan Datuk KSU mempunyai pendirian yang sama. Kita akan terus memberikan dokongan penuh kepada Jabatan Penjara. Malah apabila kita diminta menyesuaikan semula perbelanjaan kementerian kerana keadaan semasa, termasuk kesan krisis yang berlaku di Asia Barat dan cabaran bekalan global, keutamaan kita tetap jelas.
Jika melibatkan kebajikan anggota, kuarters, kemudahan asas dan peningkatan kapasiti operasi, kita tidak akan mengurangkan peruntukan tersebut. Mungkin ada projek tertentu yang perlu ditangguhkan buat sementara waktu. Contohnya pembinaan pejabat baharu atau projek-projek lain yang boleh menunggu. Tetapi perkara yang berkaitan dengan kebajikan dan keupayaan operasi tidak akan kita abaikan.
Pada masa yang sama, jika berlaku kes seperti yang dibangkitkan dalam isu Penjara Kamunting, maka proses siasatan perlu diteruskan mengikut saluran yang betul. Jika terdapat bukti yang jelas, maka tindakan sewajarnya perlu diambil. Pendekatan ini tidak akan sama sekali memadamkan segala kejayaan besar yang telah dicapai oleh Jabatan Penjara Malaysia. Malah itulah hujah yang saya kemukakan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. Saya mahu rakan-rakan dalam Jemaah Menteri melihat gambaran yang lebih besar. Jangan hanya melihat satu insiden, tetapi lihat juga impak dan kejayaan yang telah diusahakan oleh jabatan ini selama bertahun-tahun.
Pada masa yang sama, saya juga ingin menyentuh satu lagi perkara yang semakin mendapat perhatian masyarakat, iaitu isu pengurusan pelarian.
Saya tahu sentimen mengenai isu ini semakin kuat. Kita melihat pelbagai pandangan di media sosial. Ada yang berpendapat bahawa jalan penyelesaiannya mudah, iaitu halau sahaja atau tutup sahaja pintu.
Isu ini emotif. Tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak boleh menguruskan isu ini berdasarkan emosi.Kita perlu menguruskan isu ini berdasarkan fakta, pertimbangan keselamatan dan juga pertimbangan kemanusiaan. Jika kampung halaman mereka dibakar, wanita mereka dirogol, identiti mereka dinafikan, masjid mereka dimusnahkan dan kehidupan mereka dihancurkan, apakah pilihan yang mereka ada?
Mereka sanggup meredah lautan dan menempuh pelbagai risiko untuk mencari tempat perlindungan. Malaysia turut menjadi salah satu destinasi yang mereka pilih.
Ini bukan isu baharu. Ia bukan berlaku dalam tempoh dua atau tiga tahun kebelakangan ini. Ia adalah isu legasi yang telah lama wujud.
Perlukah ia diuruskan?
Ya, ia mesti diuruskan.
Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan berharap masalah ini akan selesai dengan sendirinya.
Namun dalam menguruskan isu ini, terdapat beberapa prinsip yang perlu kita pegang.
Pertama, kita tidak akan sesekali berkompromi dalam soal keselamatan negara.
Jika ada dakwaan bahawa kerajaan memberi dokumen pengenalan diri secara sewenang-wenangnya kepada pelarian, saya ingin tegaskan bahawa perkara itu tidak benar. Seolah-olah ada pihak menggambarkan bahawa sesiapa sahaja yang datang akan terus diberikan kad pengenalan. Seolah-olah negara ini tidak mempunyai sistem dan undang-undang. Itu tidak benar. Aspek keselamatan tidak akan kita kompromi sama sekali.
Pada masa yang sama, kita juga perlu mengambil kira pertimbangan kemanusiaan.
Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian. Kita mempunyai UNHCR yang berperanan mendaftarkan pelarian dan mencari negara ketiga untuk penempatan semula mereka. Namun landskap geopolitik dunia telah berubah.
Dahulu banyak negara bersedia menerima pelarian sebagai negara ketiga. Hari ini semakin banyak negara menutup pintu mereka. Bukan sahaja mereka tidak menerima pelarian baharu, malah ada yang mengambil langkah mengeluarkan warga asing yang sudah lama berada di negara mereka. Akibatnya, pilihan untuk penempatan semula menjadi semakin terhad. Itu tugas hakiki UNHCR – daftar and kemudian hantar ke negara ketiga.
Sementara perkara itu berlaku, keberadaan pelarian di negara kita menimbulkan pelbagai persoalan dan cabaran. Ada implikasi ekonomi. Ada implikasi sosial. Ada implikasi keselamatan.
Tetapi kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh menguruskan perkara ini secara simplistik.
Kita perlu menguruskannya dengan bijaksana. Kita perlu menguruskannya dengan ehsan. Kita perlu mengimbangi keselamatan negara, keselamatan rakyat dan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa. Semua pertimbangan ini perlu diambil kira.
Inilah antara perkara besar yang perlu kita uruskan dalam tempoh terdekat.
Biasanya saya suka menyampaikan tiga perkara sahaja dalam satu ucapan. Ucapan yang baik biasanya ada tiga perkara utama. Kalau terlalu banyak perkara dibawa sekali gus, akhirnya orang tidak tahu apa yang hendak dibawa pulang daripada ucapan itu.
Jadi itulah tiga perkara yang saya ingin kongsikan pada pagi ini.
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia selaku tuan rumah pada hari ini atas penganjuran yang begitu baik. Saya juga ingin mengucapkan tahniah atas persembahan pentomen dan keseluruhan pengurusan majlis. Persembahan yang dipertontonkan pada hari ini sangat berkesan dan membawa mesej yang jelas kepada kita semua. Saya beri markah penuh kepada pasukan Polis Diraja Malaysia.
Selepas ini saya difahamkan giliran agensi lain pula. Jadi saya harap agensi yang akan menjadi tuan rumah selepas ini dapat meneruskan standard yang tinggi seperti yang ditunjukkan pada hari ini.
Akhir sekali, jagalah diri. Jagalah keselamatan. Jagalah amanah. Peganglah tanggungjawab yang diberikan kepada kita. Insya-Allah, mudah-mudahan kita semua memperoleh keselamatan dan kejayaan di dunia serta di akhirat.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.







Ruangan Komen: