November 26, 2025

Assalamualaikum dan selamat petang.

Terima kasih kepada pasangan pengacara majlis. Saya mulakan ucapan ini dengan mengalu-alukan kehadiran sahabat saya, Datuk Seri Panglima Tan Sri Liew.

Pertama sekali, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis perjumpaan ini untuk kita mendengar ucapan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini sudah pun berada di Sandakan. Beliau bersama calon-calon sedang melakukan walkabout di beberapa lokasi kerana jadual beliau pada hari ini sangat padat. Perdana Menteri akan berada di Karamunting, selepas itu ke Merotai, dan malam ini juga beliau mempunyai beberapa program lain sebelum meneruskan acara di sekitar Kota Kinabalu esok, termasuk di Tuaran.

Hadirin yang dihormati, kita juga maklum bahawa Perdana Menteri baru kembali dari rangka lawatan ke Afrika. Beliau telah melawat Ethiopia (Addis Ababa), Kenya (Nairobi) dan Afrika Selatan (Cape Town). Lawatan ini bertujuan membuka pasaran baharu bagi barangan negara, dan langkah ini penting untuk pertumbuhan ekonomi negara. Malaysia tidak boleh bergantung hanya pada rakan dagang sedia ada. China telah menjadi rakan dagang terbesar selama 17 tahun berturut-turut dan akan terus kekal penting. Amerika Syarikat pula merupakan rakan dagang strategik untuk sektor pembuatan. Perdana Menteri mahu perdagangan dengan China dan Amerika terjaga, perdagangan ASEAN diperkukuh, dan pada masa yang sama membuka pasaran baharu di blok Afrika.

Semalam, 25 haribulan, genap tiga tahun usia pentadbiran Perdana Menteri sebagai Perdana Menteri ke-10. Sejak hari pertama beliau memegang jawatan, beliau menetapkan empat perkara penting: mewujudkan kestabilan politik, memakmurkan ekonomi, menjaga kebajikan rakyat, dan memastikan negara kembali dihormati di pentas antarabangsa. Selama tiga tahun ini, kestabilan politik dapat dicapai dengan sokongan rakyat.

Perdana Menteri bekerja keras untuk memakmurkan ekonomi. Petunjuk makro seperti pertumbuhan ekonomi (GDP), pelaburan masuk, kadar inflasi, pengangguran dan defisit negara menunjukkan perkembangan positif. Usaha ini akan dihuraikan sendiri oleh Perdana Menteri sebentar lagi.

Setelah politik stabil dan ekonomi dimakmurkan, fokus Perdana Menteri seterusnya ialah menjaga kebajikan rakyat. Ini tiga tumpuan utama pentadbiran beliau sepanjang memegang jawatan.

Hadirin yang dimuliakan, Perdana Menteri meletakkan saya sebagai Menteri Dalam Negeri dan memberi saya keutamaan untuk memastikan keselamatan perairan Sabah lebih terjaga dan terjamin. Saya telah membawa delegasi pelabur antarabangsa melihat sendiri keselamatan dan potensi Sabah, bagi meyakinkan mereka bahawa negeri ini stabil dan sesuai untuk pelaburan.

Dalam Belanjawan Negara, Sabah menerima peruntukan pembangunan RM6.9 bilion – tidak termasuk pemberian khas RM600 juta, tertinggi dalam sejarah Sabah. Ini bukti komitmen Perdana Menteri dalam pembangunan negeri ini.

Di Sandakan, Pakatan Harapan meletakkan calon di Karamunting, Elopura dan Tanjung Papat. Vivian di Elopura (Nombor 7), Acing di Tanjung Papat (Nombor 2), dan Josh di Karamunting (Nombor 2). Tiga calon inilah yang kita harapkan membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri.

PRN Sabah kali ini bukan soal menjadi kerajaan secara sendirian. Harapan bertanding kurang 1/3 kerusi – tetapi kita mahu membentuk kerajaan negeri yang stabil bersama gabungan lain, dengan prinsip utama bahawa Sabah mesti menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan demi pembangunan negeri.

Kita kini tinggal dua hari lagi sebelum tamat tempoh kempen. Kehadiran malam ini hanya bermakna jika diterjemahkan menjadi sokongan kepada calon-calon Pakatan Harapan.

Pilihan raya ini melibatkan 10,000 anggota polis bagi memastikan keselamatan dari penamaan calon hingga pengumuman keputusan. Keselamatan tidak boleh dikompromi; setiap hari saya memantau agar tiada insiden tidak diingini.

Perdana Menteri akan tiba sebentar lagi. Kepimpinan beliau dihormati dunia – dari China ke Amerika Syarikat – dan ASEAN sendiri memerlukan kepimpinan Malaysia untuk merungkai konflik antara Thailand dan Kemboja. Ini menunjukkan wibawa beliau di pentas antarabangsa.

Inilah kaitan kepimpinan Perdana Menteri dengan PRN Sabah: kita mahukan kerajaan negeri yang stabil, supaya pembangunan besar dapat diteruskan tanpa berlengah.

Saya percaya rakyat Sabah mempunyai kebijaksanaan memilih calon yang tepat pada 29 haribulan nanti.

Sebelum saya akhiri, saya ulangi:

• Tanjung Papat – Calon No. 2

• Elopura – Calon No. 7

• Karamunting – Calon No. 2

Terima kasih kepada semua yang sabar mendengar ucapan saya. Selamat mengundi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ruangan Komen:

Loading...