TEKS VERBATIM UCAPAN
YB DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION BIN ISMAIL
MENTERI DALAM NEGERI
PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
19 FEBRUARI 2026 | 1 RAMADAN 1447H | KHAMIS | 8.00 PAGI
AUDITORIUM, SETIA PERKASA 8, KOMPLEKS SETIA PERKASA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Allah Ta‘ala berfirman dalam al-Quran al-Karim:
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan yang lain, kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya.”
Pengacara majlis,
Sahabat saya Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Timbalan Menteri.
Saya juga gembira meraihkan Datuk KSP Datuk Johan Mahmood Merican.
Ketua Setiausaha Datuk Dr. Awang Alik Jeman.
Datuk IGP Tan Sri Razarudin Husain.
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha.
Saya juga gembira meraikan Datuk Seri Nor Azmie, KSU Kementerian Ekonomi.
Rakan-rakan yang saya muliakan.
Alhamdulillah, kita bersyukur. Dalam lima belas minit lagi kita akan menerima kehadiran Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada awal Ramadan ini. Kaya rezeki kita. Tapi sementara itu, kita nak ambil peluang dengar dan sampaikan sedikit.
Apapun, ini kiranya himpunan kita yang kedua minggu ini. Minggu lepas baru sahaja kita adakan himpunan bulanan. Satu yang membanggakan, kita tidak pernah terlepas himpunan bulanan. Itu syabas dan tahniah Datuk KSU dan pasukan.
Bila himpunan bulanan, Datuk KSU akan berucap dengan sangat ringkas. Kecuali minggu lepas dia terikut-ikut dengan Datuk Suhaili, dia cengil sedikit. Tetapi marahnya itu bersebab. Dia mengingatkan kita supaya cermat dan berhati-hati, terutama apabila membekalkan data kepada atasan. Kealpaan kita boleh menyebabkan masalah. Saya fikir itu pesanan yang baik daripada KSU.
Saya dan Datuk Dr. Samsul Anwar Nasarah selalu ulangi bahawa kami bertuah berada dalam kementerian yang semangat kerja berpasukan dalam kalangan pegawainya sangat baik. Itu sangat membantu tugasan kami.
Kerana ucapan ini sebenarnya formatnya disusun oleh Pejabat Perdana Menteri. Ia mesti dimulai dengan Menteri berucap juga. Jadi kerana hari ini Ramadan, saya ambil sedikit masa untuk tazkirah, walaupun sebentar lagi kita akan dengar tazkirah daripada Mufti Wilayah.
Saudara-saudara yang saya hormati sekalian,
Ada tiga amalan yang Nabi tingkatkan setiap kali Ramadan.
Pertama, Nabi banyak membaca al-Quran. Setiap malam Jibril akan datang menemani Nabi untuk muraja‘ah bacaan. Setiap malam. Itu menjadikan Ramadan diisi dengan disiplin membaca al-Quran dengan lebih banyak.
Kedua, kerana Ramadanlah kita bangun bersahur. Pukul empat, pukul lima pagi. Sebelum ini bangun juga mungkin tengok bola, tapi kali ini memang bangun untuk sahur. Maka Nabi banyakkan qiyamullail.
Ketiga, Nabi banyak bersedekah.
Itu tiga perkara.
Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Haji Ahmad Fauwaz bin Dato’ Ustaz Haji Fadzil Noor, yang saya hormati.
Saya selalu kata, kalau berucap depan mufti, jangan pandang lama-lama. Kalau pandang gemuruh. Dia tahu kita baca betul atau tidak.
Saya dengan Ustaz Fauwaz ini pangkat adik. Saya lebih akrab dengan almarhum ayahandanya, Tuan Guru Dato’ Ustaz Fadzil Noor, yang sangat saya hormati. Hubungan itu bukan sahaja antara kami, tetapi juga dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saya masih ingat waktu almarhum menjadi Presiden PAS, Datuk Seri Anwar masa itu Timbalan Perdana Menteri. Datuk Seri Anwar jatuh kuda, dibawa ke hospital dan dipakaikan collar support.
Ustaz Fadzil Noor kata kepada saya, “Saifuddin, boleh atur? Saya nak pergi melawat Datuk Seri Anwar.” Presiden PAS melawat Timbalan Perdana Menteri. Dia pergi ziarah.
Dialog yang saya ingat. Dia kata, “Datuk Seri, kita ini beza parti, kita bertembung. Tapi hari ini kamu sakit, saya datang untuk ziarah.”
Dia umpamakan seperti Salahuddin al-Ayyubi dan Richard the Lionheart. Salahuddin dapat khabar Richard sakit, dia tangguhkan perang dan pergi melawat dengan membawa tabib.
Itu dialog pertama.
Dialog kedua, Ustaz Fadzil tanya, “Ini kali keberapa jatuh kuda?” Datuk Seri jawab, “Kali kedua.” Dia kata, “Lepas ini kalau nak naik, naik kuda kepang.”
Pengajarannya, perbezaan politik tidak memutuskan silaturahim.
Saya ada di situ. Itu bukan cerita dengar-dengar. Itu saya alami sendiri.
Jadi tiga perkara tadi: banyakkan al-Quran, qiyamullail dan sedekah.
Hadirin yang saya muliakan,
Core business Kementerian Dalam Negeri adalah keselamatan dan ketenteraman awam.
Semua petunjuk makroekonomi membanggakan dan di luar jangkaan. Pertumbuhan 6.3 peratus, lebih tinggi daripada unjuran. Sektor pembinaan 11 peratus. Data center menjadi enjin pertumbuhan baharu. Consumer spending meningkat kerana bantuan tunai. Inflasi 1.4 peratus. Pengangguran 2.9 peratus, dianggap guna tenaga penuh.
Semua indikator menunjukkan negara bergerak pada landasan yang betul.
Dalam konteks ini, peranan kita menjaga keselamatan sangat kritikal.
Di hadapan Datuk Johan, saya sebut isu kuarters polis. Daripada 76,704 unit, sekitar 62,000 boleh digunakan, 14,000 lagi dikategorikan uzur. Peruntukan sekitar RM100 juta setahun tidak mencukupi untuk pulih semua.
Logistik kenderaan juga begitu. Lebih 80 peratus kenderaan melebihi usia operasi.
Kita tidak boleh kompromi aspek kebajikan anggota. Dedikasi mereka tidak pernah kita pertikai, tetapi kalau balik ke rumah dalam keadaan kuarters yang uzur, kita sendiri boleh bayangkan.
Tahun lepas saya dibawa ke Pulapol. Empat tingkat, tingkat bawah tidak boleh diduduki kerana banjir, tingkat atas bocor. Tinggal dua tingkat sahaja.
Dalam dialog bajet, kita mohon supaya sebahagian hasil kutipan trafik diagihkan untuk membaiki kuarters. Saya difahamkan ada keutamaan diberi. Kalau ada, Pulapol antara keutamaan kita.
Isu kebajikan ini penting. Ramadan mengingatkan kita tentang sedekah dan mempermudahkan urusan orang lain. Bila kita mempermudahkan urusan orang lain, Allah mempermudahkan urusan kita.
Hadirin sekalian,
Saya sebut tiga perkara hari ini.
Pertama, tazkirah Ramadan: al-Quran, qiyamullail, sedekah.
Kedua, core business kita keselamatan dan kebajikan anggota.
Kita telah pun menerima ketibaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Saya akhiri.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.







Ruangan Komen: