Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillahil lazi anzala ‘ala ‘abdihil kitab wa lam yaj’al lahu ‘iwaja.
Yang saya hormati, Pengerusi Majlis, sahabat saya Dr. Samsul Anuar Nasarah—lama juga tak bersua, beliau baru kembali dari misi kajian di luar negara. Yang Berbahagia Ketua Setiausaha, Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha, para Pengarah, Komisioner Jeneral Penjara Dato’ Nordin, Tuan Aziz, dan semua pegawai kanan serta warga Kementerian Dalam Negeri yang saya kasihi sekalian.
Alhamdulillah, hari ini giliran Jabatan Penjara menjadi tuan rumah. Saya ingin merakamkan penghargaan atas penganjuran yang rapi, dan paling menyentuh hati saya sebentar tadi apabila salah seorang penghuni penjara membacakan ayat-ayat dari Surah Al-Baqarah dengan begitu lancar. Di skrin belakang, kita dapat saksikan keseluruhan hafazan beliau, dipantau oleh guru dan kita semua menjadi saksi satu model pemulihan penjara yang sangat berjaya.
Prospek ini—yang pernah disabitkan kesalahan—dipulihkan oleh Jabatan Penjara melalui pelbagai pendekatan: latihan songket, pertukangan, TVET, dan lebih penting, program penghafazan Al-Quran. Ini satu pencapaian besar. Kalau kita yang di luar pun sukar menjadi huffaz, bagaimana mereka yang dalam keadaan terkurung mampu melakukannya? Syabas kepada Jabatan Penjara.
Pengajarannya, jika mereka boleh berubah dan berjaya dalam sistem pemulihan ini, maka kita di luar juga sepatutnya mampu mencontohi semangat mereka.
Saudara-saudari sekalian,
Dalam ucapan saya yang lalu, saya kongsikan satu kriteria kepimpinan iaitu “The best leaders are the best learners.” Hari ini, kriteria kedua yang ingin saya kongsikan ialah: “The best leaders lead by example—or else you don’t lead at all.”
Saya bawakan satu kisah sahih daripada Rasulullah SAW. Dalam satu perjalanan, Baginda memerintahkan para sahabat agar menyembelih kambing. Seorang sahabat menawarkan diri untuk menyembelih, yang lain pula mahu melapah dan memasak. Namun, Rasulullah SAW berkata, “Biar aku yang cari kayu api.” Bila ditanya mengapa, Baginda menjawab, “Aku tidak suka diberi keistimewaan.” Itulah teladan kepimpinan—memimpin melalui contoh, bukan hanya arahan.
Kisah ini kita ambil untuk diamalkan dalam konteks kepimpinan di kementerian. Kita baru selesai menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Kluster Keselamatan. Salut kepada Bahagian Antarabangsa yang menjalankan tugas dengan cemerlang. Saya tahu ada yang kecil hati saya puji orang lain sebelum ini—hari ini saya betulkan. Saya bangga melihat semua pihak turun padang, KSU, Timbalan KSU, semua memberi komitmen.
Begitu juga dengan program Komuniti Korektif Kampung Angkat Madani anjuran Jabatan Penjara di Kampung Teluk Nipah. Para prospek yang sepatutnya menjalani hukuman 3–4 tahun dalam tembok penjara dibawa keluar ke pusat latihan, disediakan TVET, kemahiran pertukangan, kontraktor kecil, tanam sayur, cuci kereta, jual roti canai—semua hasil usaha sendiri.
Dengan pendekatan ini, penjara menjimatkan RM24 juta tahun lepas, RM19 juta tahun sebelumnya. Saya mohon bajet akan datang melihat keberkesanan ini dan tidak memotong peruntukan penjara hanya kerana mereka jimat.
Saya sendiri bercakap dengan Ketua Kampung dan Imam di Teluk Nipah. Program ini beri impak besar kepada komuniti. Dari segi ekonomi mikro dan kesejahteraan sosial, mereka dapat rasai manfaatnya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kriteria kedua ini—lead by example—jika diterjemahkan dalam pengurusan kementerian, saya yakin KDN akan menjadi kementerian yang unggul. Asalkan kita terus pelihara solidariti sesama kita, dan kita tegur pemimpin dengan beradab jika mereka tersasar.
Saya juga ingin menyentuh tentang Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN pada bulan depan. Kita bakal menerima kehadiran pemimpin dunia termasuk dari China, Amerika Syarikat, India, dan mungkin Brazil. Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN, perlu bersikap matang dalam menerima tetamu walaupun ada pendirian berbeza.
Ada yang bertanya, kenapa jemput Trump yang menyokong Israel? Jawapan saya, dalam sejarah Islam sekalipun, Nabi Musa diperintahkan untuk pergi kepada Firaun, yang jauh lebih zalim. Tapi diperintahkan juga untuk berkata baik. Jadi, jika kita ingin mengkritik, buatlah dengan penuh hikmah. Perdana Menteri kita bukan hanya mewakili Malaysia tetapi ASEAN secara keseluruhan.
Hari ini juga detik bersejarah. Rakyat Malaysia boleh mengisi minyak dengan harga RM1.99 seliter, hasil daripada pelaksanaan sistem subsidi bersasar. Peranan JPN sangat besar dalam menjayakan pelaksanaan MyKad sebagai alat verifikasi.
Saya sendiri turun padang ke stesen minyak Shell di Putrajaya. Sistem berjalan lancar. STR semalam berjalan lancar. Hari ini, melalui WhatsApp Menteri, laporan dari MK2 juga baik.
Bayangkan, seorang ibu tunggal jimat RM60–120 sebulan hasil subsidi ini. Itu boleh digunakan untuk tambang anak ke sekolah, beli makanan lebih baik. Ini impak langsung. Saya tahu sebab saya pernah laksanakan program Food Bank pada 1 Mei 2017. Kita bagi roti, sayur, buah—orang jimat RM15. Itu pun dah cukup buat mereka syukur.
Jadi, dalam KDN, kita kena lihat peranan kita dari kaca mata rakyat terbanyak. Penjara, imigresen, keselamatan dalam negeri—semua beri kesan kepada rakyat. Kita jaga solidariti, kita pimpin melalui teladan, dan kita kekalkan hubungan kerja yang saling menegur dan memperbaiki.
Saya tahu ramai dalam KDN sangat berkaliber—saya boleh kenal satu-satu. Ada yang ada Master dalam Syariah, ada yang berbahas soal Ibn Taymiyyah dengan saya, macam Pengarah JPJKK. Kami pun tak sependapat bab Ibn Taymiyyah—tapi itu menunjukkan wacana ilmiah subur dalam KDN. Saya pun tak kisah ditegur. Takkan kena tegur terus tukar orang—tidak.
Akhir kata, kita jaga keamanan dan kesejahteraan negara. Kita bantu kerajaan Madani melalui dasar yang beri impak terus kepada rakyat.
Sekian, terima kasih.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ruangan Komen: