SAMBUTAN HARI IMIGRESEN 2025 – UCAPAN RASMI MENTERI DALAM NEGERI SEMPENA - Saifuddin Nasution
July 21, 2025

“AI MENERAJUI REFORMASI IMIGRESEN”
21 JULAI 2025

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat berkumpul hari ini dalam satu majlis penuh bermakna untuk menyambut Ulang Tahun ke-103 Jabatan Imigresen Malaysia.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga Jabatan Imigresen Malaysia atas pencapaian, komitmen, dan khidmat bakti yang telah disumbangkan sejak tahun 1922.

Peranan Strategik Imigresen
Jabatan Imigresen bukan sekadar agensi yang mengeluarkan pasport dan mengawal sempadan. Ia merupakan wajah pertama negara bagi pelancong, pelabur, pelajar antarabangsa, atlet, dan pekerja asing. Interaksi awal mereka dengan negara kita bermula di pintu masuk yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen.

Hari ini, kita berbangga apabila pasport Malaysia berada di kedudukan ke-8 dunia dalam Indeks Ranking Pasport 2025. Ini bermaksud rakyat Malaysia mendapat keistimewaan visa percuma atau visa semasa ketibaan di lebih 170 buah negara. Kedudukan ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan dokumen perjalanan kita, tetapi juga reputasi serta kecekapan operasi Jabatan Imigresen.

Kecekapan inilah juga yang menyumbang kepada kejayaan sektor pelancongan dan pelancongan kesihatan negara. Malaysia diiktiraf sebagai negara terbaik dunia dalam pelancongan kesihatan, dengan lebih 1.2 juta pesakit luar negara dicatatkan pada tahun 2024. Kejayaan ini sebahagiannya disumbangkan oleh sistem visa yang pantas dan mesra pengguna yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen.

Reformasi dan Tadbir Urus Imigresen
Kita akan memasuki Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Dalam konteks ini, Jabatan Imigresen perlu terus memacu agenda reformasi dan pembaharuan selari dengan nilai Madani, berteraskan tadbir urus yang cekap, integriti yang utuh, dan penyampaian perkhidmatan yang memberi impak tinggi kepada rakyat.

Saya menyeru seluruh warga Jabatan Imigresen untuk menegakkan integriti melalui dasar zero tolerance terhadap rasuah, mekanisme pemantauan dalaman yang berkesan, serta kolaborasi dengan agensi penguatkuasaan seperti PDRM dan SPRM. Kita mesti memperkukuh budaya kerja beretika serta menambah baik sistem dan prosedur yang menyumbang kepada keberkesanan perkhidmatan.

Kecerdasan Buatan (AI) dan Masa Depan Imigresen
Tema sambutan tahun ini, “AI Menerajui Reformasi Imigresen”, sangat bertepatan dengan
keperluan semasa. Kita kini memasuki era baharu yang menyaksikan kecerdasan buatan (AI) menjadi enjin utama kepada transformasi penyampaian perkhidmatan.

Penggunaan AI dapat melonjakkan produktiviti, mempercepatkan proses perkhidmatan, serta meningkatkan kutipan hasil kerajaan. Ini akan menjadi kayu ukur baharu bagi Jabatan Imigresen dalam menilai keberkesanan penggunaan teknologi masa depan.

Saya mencadangkan agar latihan intensif berkaitan AI diberikan kepada pegawai-pegawai Imigresen, termasuk kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi seperti UKM dan UiTM, bagi memastikan warga jabatan bersedia menghadapi cabaran transformasi digital.Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Pengarah, barisan kepimpinan, dan seluruh warga Jabatan Imigresen Malaysia atas dedikasi dan semangat yang ditunjukkan.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Sambutan Hari Imigresen 2025 yang bertemakan “AI Menerajui Reformasi Imigresen”.

Sekian, wa billahi taufik wal hidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ruangan Komen:

Loading...