MAJLIS PELUNCURAN JERSI DAN PENGENALAN PEMAIN PASUKAN IMIGRESEN FOOTBALL CLUB (IFC) LIGA SUPER MUSIM 2025/2026 OLEH YAB DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL, MENTERI DALAM NEGERI PADA 6 OGOS 2025, RAIA HOTEL ALOR SETAR - Saifuddin Nasution
August 7, 2025

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Malaysia Madani.

Terima kasih saudara-saudari pengacara majlis.

Yang Berbahagia,
Dato’ Ruslin Jusoh, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia;
Yang Berusaha,
Encik Abdul Halim Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan);
Yang Dihormati,
Encik Kamal Azira Hassan, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Penguatkuasaan, KDN;
Pengurusan Tertinggi Jabatan Imigresen Malaysia, seluruh pegawai dan anggota Imigresen yang saya kasihi;
Para pemain serta barisan kejurulatihan Pasukan Imigresen FC;
Dato’ Sri King Lim Chin Fui daripada Five Petroleum Malaysia Sdn Bhd (penaja utama musim ini);
Serta tokoh korporat yang banyak menyumbang kepada IFC, Datuk Syed Azman Syed Ibrahim dari Weststar Group;
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya kita dapat berkumpul pada petang yang penuh bermakna ini, bagi menyaksikan satu detik bersejarah dalam pembangunan sukan negara — peluncuran jersi dan pengenalan pemain bagi Imigresen Football Club (IFC) untuk saingan Liga Super musim 2025/2026.

Majlis ini bukan sekadar peluncuran jersi semata-mata. Ia merupakan simbol semangat dan tekad sebuah pasukan beruniform — pasukan yang sinonim dengan penguatkuasaan undang-undang imigresen, kini melangkah ke arena sukan profesional dengan penuh wibawa dan jati diri.

Hadirin sekalian,

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja, khususnya Datuk Syed Azman Syed Ibrahim dari Weststar, dan Dato’ Sri King Lim Chin Fui dari Five Petroleum Malaysia Sdn Bhd atas kesudian mereka menjadi rakan strategik yang menyokong pembangunan sukan dalam pasukan penguatkuasaan.

Walaupun terdapat beberapa tetamu kehormat yang tidak dapat hadir kerana urusan rasmi di luar negara, khususnya di Jepun, komitmen dan sokongan mereka terhadap IFC tetap saya sanjungi dan hargai.

Kita berbangga kerana di sebalik tugas berat sebagai penjaga pintu sempadan negara, Jabatan Imigresen berjaya memupuk budaya hidup sihat melalui sukan. IFC adalah satu lambang kebanggaan jabatan — sebuah pasukan yang bukan sahaja beraksi di padang, tetapi juga mengangkat nama jabatan dalam kalangan masyarakat umum.

Hadirin yang dihormati,

KDN menyokong penuh inisiatif yang menyatukan profesionalisme, disiplin, dan semangat kesukanan dalam kalangan anggota penguatkuasa. Ia selari dengan nilai-nilai Malaysia Madani yang menekankan perpaduan, daya tahan, dan kecemerlangan holistik.

Saya berharap IFC akan terus melangkah ke hadapan dengan semangat berpasukan, disiplin tinggi, dan strategi permainan yang mantap. Kita mahu lihat pasukan ini bukan sahaja bertanding, tetapi menang — menang dengan bermaruah, menang dengan gaya, menang dengan integriti.

Akhir kata, saya ucapkan tahniah kepada Jabatan Imigresen Malaysia atas penganjuran majlis yang gilang-gemilang ini. Saya juga doakan kejayaan berterusan kepada Pasukan IFC dalam Liga Super musim ini. Semoga Allah SWT memberkati usaha kita semua.

Sekian, wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

6 OGOS 2025 | HOTEL RAIA, ALOR SETAR, KEDAH

 

Ruangan Komen:

Loading...