Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Sebelum saya meneruskan ucapan, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kumpulan nasyid tersohor tanah air, Kumpulan Rabbani, yang telah mencetuskan ilham kepada saya untuk menyampaikan ucapan pada hari ini dengan pendekatan yang sedikit berbeza. Kata-kata mereka, yang sarat dengan makna dan roh ketuhanan, menyentuh hati saya dan menjadi pemangkin kepada susunan ucapan yang ingin saya sampaikan. Antara bait yang menggetarkan jiwa saya ialah: “Kau yang satu, tempatku mengadu…dalam hening malam, ku sujud bersyukur…”—ungkapan ini bukan sekadar lagu, tetapi suatu peringatan halus tentang kekuatan kebergantungan kita kepada Tuhan dalam menghadapi segala ujian kehidupan, termasuk dalam perjuangan memerangi najis dadah yang kita saksikan hari ini.
Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas jemputan untuk merasmikan program i-Deen yang begitu signifikan ini. Kehadiran para pimpinan, pegawai kanan AADK, serta wakil-wakil daripada pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan sangat saya hargai. Program i-Deen ini pendekatan holistik yang menyentuh tiga aspek utama kehidupan manusia iaitu akal, jasad dan roh. Pendekatan ini merangkumi tarbiah aqliyyah, badaniyyah dan ruhiyyah yang digabungkan menjadi satu bentuk tarbiah rabbaniyyah — pendidikan berteraskan nilai-nilai ketuhanan dan spiritual.
Saya menyambut baik usaha AADK memperkenalkan elemen keagamaan dalam modul pemulihan mereka. Ini satu langkah bijak. Nilai spiritual yang tinggi akan membentuk kekuatan dalaman seseorang, yang akan membantu proses pemulihan secara lebih menyeluruh. Sebagai contoh kejayaan pendekatan berasaskan nilai rohani, saya ingin memetik satu pencapaian luar biasa hasil kerjasama antara Jabatan Agama Islam dan pihak penjara. Seramai 30 orang banduan telah berjaya menjadi Huffaz merupakan satu bukti bahawa program pemulihan yang berteraskan keagamaan mampu melahirkan insan yang kembali ke pangkal jalan dengan kekuatan spiritual yang mendalam.
Dalam menghadapi isu dadah yang semakin kompleks, kita tidak boleh bergerak secara bersendirian. Kita perlu melibatkan pelbagai pihak seperti NGO, institusi pendidikan, sektor swasta dan masyarakat umum untuk memastikan keberkesanan program-program yang dijalankan. Saya turut berbangga dengan kadar kejayaan pemulihan AADK yang kini menghampiri 80%. Ini satu pencapaian yang tidak mudah dan wajar diraikan. Namun kita tidak boleh selesa. Kejayaan ini perlu dipertingkat melalui sokongan berterusan dari segi sumber manusia, kewangan, latihan, serta penambahbaikan dasar dan undang-undang.
Saya menyeru agar kita melihat para klien AADK bukan sebagai pesalah semata-mata, tetapi sebagai individu yang berhak diberi peluang kedua dalam kehidupan. Dengan bimbingan, empati dan kasih sayang, mereka juga mampu kembali menjadi insan berguna kepada keluarga dan negara. Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya memberi jaminan bahawa Kementerian akan terus menyokong AADK dari segala aspek — dasar, latihan, modul, serta peruntukan demi memastikan perjuangan ini terus diperkasa.
Akhir kata, saya ucapkan tahniah kepada AADK atas kejayaan menganjurkan program ini. Terima kasih juga kepada semua yang hadir dan menyokong agenda pemulihan negara. Semoga usaha kita ini diberkati Allah SWT dan diberi kekuatan untuk terus maju ke hadapan.
Sekian, wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
5 OGOS 2025 | DEWAN SRI AKASIA, IBU PEJABAT AADK
Ruangan Komen: