TEKS VERBATIM UCAPAN
YB DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION BIN ISMAIL
MENTERI DALAM NEGERI
PERHIMPUNAN BULANAN KEMENTERIAN DALAM NEGERI
13 APRIL 2026 (ISNIN)
24 SYAWAL 1447H
AUDITORIUM ARAS 5, SETIA PERKASA 8, KOMPLEKS SETIA PERKASA, PUTRAJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Pengacara majlis, terima kasih.
Saya mengalu-alukan sahabat saya Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Samsul Anuar Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri. Saya juga mengalu-alukan Yang Berbahagia Datuk Dr. Awang Alik Jeman, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Yang Berbahagia Tan Sri Razarudin Husain, Ketua Polis Negara, dan Yang Berbahagia Datuk Zulkifli Dahlan selaku tuan rumah bagi majlis kita pada pagi ini. Hadirin dan hadirat yang saya muliakan sekalian.
Alhamdulillah, bersyukur kita dapat meneruskan Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri pada hari ini.
Tiga perkara yang saya nak sampaikan.
Yang pertama, berkaitan perkembangan konflik semasa.
Kita maklum bahawa telah berlangsung satu rundingan di Islamabad sebagai satu usaha untuk mencapai perdamaian. Rundingan itu tidak membuahkan hasil antara Iran dan Amerika Syarikat, dengan Pakistan sebagai tuan rumah. Namun tempoh gencatan senjata yang bermula pada 9 April selama dua minggu masih berjalan. Setakat ini tidak ada serangan daripada Amerika ke atas Iran.
Bermula 28 Februari sehinggalah tarikh gencatan senjata, jumlah korban mencecah sekitar 27,000 di sebelah Iran, dengan kira-kira 3,600 yang cedera, manakala selebihnya adalah korban sebelum gencatan.
Kesan daripada konflik ini akan memberi impak kepada negara kita. Antaranya ialah kesan terhadap sumber tenaga kerana kita banyak mengimport minyak mentah daripada negara Arab seperti Arab Saudi dan Kuwait.
Kalau kita tengok peta, kapal yang membawa minyak mentah ini mesti melalui Selat Hormuz. Selat ini berada di antara negara Arab dan Iran. Kalau berlaku ketegangan, laluan kapal akan cenderung kepada kawasan yang memberi kelebihan kepada Iran dari sudut kawalan.
Selat Hormuz ini merupakan laluan penting yang membawa minyak mentah ke negara kita termasuk ke Port Dickson, Melaka dan Pengerang, yang menyumbang sekitar 60 peratus keperluan hiliran seperti petrol dan diesel.
Buat masa ini kita belum merasai kesannya kerana bekalan bagi April, Mei dan Jun masih mencukupi. Tetapi jika konflik ini berterusan, kita perlu bersedia.
Cabaran kepada kerajaan, terutama dari segi komunikasi, ialah bagaimana kita hendak mempersiapkan rakyat untuk menerima hakikat bahawa tekanan itu akan datang, tetapi dalam masa yang sama kita tidak mahu rakyat panik dan juga tidak mahu rakyat terlalu selesa.
Jadi bagaimana kita hendak olah perkara ini?
Kita tidak mahu wujud penafian. Kita juga tidak mahu sikap terlalu selesa, seolah-olah semuanya seperti biasa.
Ini cabaran besar.
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita meletakkan asas berikut. Pertama, kita akan sedaya upaya memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat supaya mereka tidak terlalu terasa kesan daripada tekanan tersebut, sama ada dari segi kenaikan harga ataupun gangguan bekalan.
Dalam masa yang sama, kita perlu memastikan kestabilan ekonomi. Kita berterus terang dalam komunikasi. Kita akui cabaran yang dihadapi, tetapi pada masa yang sama kerajaan mengambil langkah seperti mengekalkan subsidi.
Sebelum ini subsidi sekitar RM700 juta sebulan. Hari ini mencecah sehingga RM6 bilion sebulan. Dari sudut fiskal ini satu beban besar, tetapi kebajikan rakyat tetap menjadi keutamaan.
Dalam masa yang sama, ini meletakkan tanggungjawab kepada agensi penguatkuasaan di bawah KDN untuk memastikan tidak berlaku ketirisan.
Sebagai contoh, diesel bersubsidi untuk nelayan sekitar 70 juta liter sebulan pada harga RM1.65 seliter berbanding harga pasaran sekitar RM6. Perbezaan harga ini membuka ruang kepada penyelewengan seperti penukaran saluran.
Ini cabaran besar kepada penguatkuasaan.
Perkara kedua, berkaitan lawatan saya ke lapangan.
Saya turun sendiri ke kawasan sempadan, daripada Padang Besar, Bukit Kayu Hitam, Durian Burung sampailah ke Pengkalan Hulu. Saya ambil masa untuk turun dan melihat sendiri keadaan sebenar di lapangan, bukan sekadar menerima laporan.
Tujuan saya turun itu bukan sahaja untuk menyampaikan mesej kepada anggota kita, tetapi juga untuk memahami secara langsung keadaan tempat mereka bertugas, kemudahan yang mereka gunakan dan cabaran yang mereka hadapi setiap hari.
Saya tengok sendiri tempat perlindungan mereka, tempat rehat mereka. Keadaannya sederhana. Jadi perkara ini kita kena beri perhatian. Ini bukan perkara besar dari segi kos, tetapi dari segi mesej kepada anggota, ini sangat penting.
Perkara kecil seperti ini, sebenarnya kita boleh selesaikan dengan cepat. Dua tiga unit sahaja, kita boleh baiki segera. Ini memberi isyarat bahawa kita ambil berat tentang kebajikan mereka.
Pada masa yang sama, bila saya berada di lapangan, saya lihat sendiri tahap komitmen mereka. Itu sangat tinggi. Mereka bekerja dalam keadaan yang mencabar, tetapi disiplin dan komitmen mereka itu sangat baik.
Pergerakan keluar masuk di sempadan pula sangat tinggi. Di Padang Besar sahaja, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, jumlah pergerakan mencecah hampir 735,000.
Maknanya tekanan terhadap sistem dan kemudahan yang sedia ada itu memang tinggi.
Tetapi dalam keadaan itu, kemudahan sedia ada masih tidak mencukupi. Ini satu perkara yang kita kena lihat secara serius.
Rekod tangkapan juga menunjukkan peningkatan yang ketara. Malah ada lokasi yang telah melebihi keseluruhan tangkapan tahun sebelumnya.
Maknanya trend itu meningkat. Kalau kita tidak susun strategi dengan lebih baik, ini akan memberi tekanan yang lebih besar kepada pasukan kita di lapangan.
Saya juga sempat melihat keadaan pagar sempadan, laluan-laluan yang digunakan dan ruang-ruang yang masih berpotensi untuk dibolosi.
Ini memberi gambaran bahawa aktiviti penyeludupan masih berlaku dan akan terus berlaku jika kita tidak menutup ruang tersebut dengan pendekatan yang lebih sistematik.
Jadi lawatan ini memberi saya gambaran yang lebih jelas tentang keperluan sebenar di lapangan, bukan sahaja dari segi operasi tetapi juga dari segi kebajikan dan kemudahan anggota.
Perkara ketiga, berkaitan keputusan Jemaah Menteri.
Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kita telah diminta supaya pihak polis membantu dalam aspek pemantauan stesen minyak berhampiran sempadan.
Memang kita faham, ini bukan tugas asal polis. Tetapi dalam keadaan semasa, kita perlu menyesuaikan peranan mengikut keperluan.
Kita ada sekitar 4,000 stesen minyak di seluruh negara. Dari segi kapasiti penguatkuasaan, KPDN hanya mempunyai sekitar 2,300 pegawai. Jadi dari segi jumlah, memang tidak mencukupi untuk mengawal semua stesen.
Oleh itu, pendekatan yang kita ambil ialah pendekatan yang lebih berfokus dan berasaskan data.
Kita tidak perlu mengawal semua stesen minyak. Kita kenal pasti sekitar 170 stesen minyak yang berada dalam kategori berisiko tinggi, khususnya yang berhampiran kawasan sempadan.
Kita gunakan data jualan untuk melihat pola penggunaan. Kalau ada lonjakan yang tidak munasabah, kita beri fokus kepada lokasi tersebut.
Ini pendekatan yang lebih praktikal dan lebih berkesan berbanding kita cuba mengawal semua stesen secara menyeluruh.
Dalam pelaksanaan ini, kita juga perlu memastikan anggota kita jelas dengan SOP dan tidak terdedah kepada risiko yang tidak perlu.
Ini adalah tugasan tambahan kepada pasukan polis, tetapi dalam keadaan semasa, kita perlu melaksanakan secara bersama.
Ini juga menunjukkan bahawa pendekatan kerajaan sekarang ialah pendekatan bersepadu, di mana agensi-agensi bekerjasama untuk menangani isu yang semakin kompleks.
Jadi itu tiga perkara mesej saya pada pagi ini.
Pertama, kita sedang berhadapan dengan konflik yang sedang berlaku di peringkat global dan kita tidak ada kawalan terhadap tempohnya. Kita tidak tahu berapa lama keadaan ini akan berlarutan.
Yang kedua, kita juga tidak mengawal turun naik harga minyak dunia, sedangkan harga minyak ini memberi kesan langsung kepada ekonomi negara dan kehidupan rakyat.
Jadi dua perkara ini berada di luar kawalan kita.
Apa yang berada dalam kawalan kita ialah bagaimana kita mengurus keadaan ini dari dalam negara. Bagaimana kita berkongsi maklumat dengan rakyat supaya mereka bersedia, bagaimana kita memperkukuhkan penguatkuasaan supaya tidak berlaku ketirisan dan penyelewengan, dan bagaimana kita mengurus pentadbiran dengan lebih tersusun supaya kesan itu dapat diminimumkan.
Jadi kita fokus kepada perkara yang dalam kawalan kita.
Dalam masa yang sama, kita tidak boleh melihat perkara ini secara terasing. Kita kena letakkan dalam konteks yang lebih besar, iaitu bagaimana negara kita berdepan dengan perubahan geopolitik yang sedang berlaku.
Kepimpinan negara memainkan peranan di peringkat antarabangsa. Perdana Menteri sendiri berhubung dengan pemimpin dunia, termasuk negara-negara Arab dan juga Iran, untuk memastikan suara Malaysia didengar dan kita memainkan peranan yang sewajarnya.
Negara kita kecil, dengan sekitar 32 juta penduduk, tetapi pendirian kita jelas dan konsisten. Itu yang menyebabkan suara kita tetap dihormati.
Dalam konteks Kementerian Dalam Negeri, tema kita jelas. Tanggungjawab utama kita ialah memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara, walaupun dalam keadaan cabaran luaran yang semakin kompleks.
Sebab itu saya tekankan tiga perkara tadi. Yang pertama, kita kena faham konteks global yang sedang berlaku. Yang kedua, kita kena lihat kesan langsung kepada negara kita. Dan yang ketiga, kita kena bertindak dalam ruang yang kita ada, iaitu melalui penguatkuasaan, pengurusan dan penyelarasan dalaman.
Ini memerlukan kita bekerja sebagai satu pasukan.
Saya melihat sendiri di lapangan, komitmen anggota kita sangat tinggi. Jadi tugas kita di peringkat kepimpinan ialah memastikan mereka mendapat sokongan yang sewajarnya, dari segi kemudahan, kebajikan dan juga kejelasan arahan.
Dalam masa yang sama, rakyat juga perlu bersedia menghadapi keadaan semasa.
Begitulah ucapan saya pada hari ini.
Saya ucapkan terima kasih kepada urus setia yang menganjurkan majlis ini. Selepas ini kita akan meneruskan dengan acara seterusnya sebelum menghadiri program bersama Perdana Menteri pada jam 10.30 pagi.
Sekian.
Wabillahi taufiq wal hidayah.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.







Ruangan Komen: