Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul dalam majlis pagi ini.
Terima kasih kepada Yang Berbahagia Ketua Setiausaha KDN, sahabat saya Tan Sri Datuk Seri Ayob Khan, Timbalan Ketua Polis Negara, yang mewakili Ketua Polis Negara yang kini sedang menghadiri taklimat bersama Majlis Raja-Raja. Juga kepada seluruh rakan pimpinan kementerian, para pegawai kanan, dan seluruh warga KDN yang saya muliakan.
Pagi tadi selepas solat Subuh, saya sempat mentelaah semula sebuah kitab lama bertajuk Siyasah Syar’iyyah karya Ibnu Taimiyyah. Kitab ini pernah disebut oleh Dato’ Mazlan semasa beliau menjadi Timbalan Ketua Pengarah IKIM. Mungkin ada antara kita yang belum pernah membacanya.
Ibnu Taimiyyah adalah tokoh yang kadang-kadang dianggap kontroversi, namun sebagai orang yang menuntut ilmu, kita mengambil manfaat daripada karya-karya beliau dengan terbuka. Dalam kitab tersebut, beliau ditanya satu persoalan yang sangat relevan: apakah sikap yang harus diambil apabila sesebuah negara yang asalnya diperintah oleh orang Islam, kemudian bertukar tangan kepada pemerintah bukan Islam, seperti yang berlaku pada zaman serangan Mongol?
Jawapan beliau ringkas: jika pemerintah itu tidak memaksa rakyat menukar agama dan tidak melarang ibadat, maka rakyat boleh terus tinggal di negara tersebut. Akidah pemerintah itu adalah urusan antara dia dengan Tuhan, tetapi jika dia mampu memerintah dengan adil dan cekap, maka itu juga satu bentuk kebaikan. Beliau menyatakan: “Allah akan melimpahkan rahmat kepada sebuah negara yang ditegakkan dengan keadilan, walaupun pemerintahnya bukan Islam. Dan Allah tidak akan memberkati negara yang zalim, walaupun pemerintahnya seorang mukmin.”
Keadilan dan kecekapan pentadbiran adalah prinsip utama dalam urus tadbir negara.
Dalam kitab yang sama, Ibnu Taimiyyah mengupas ayat Surah Al-Qasas ayat 26: “Sesungguhnya orang yang terbaik untuk diambil bekerja ialah yang kuat (kompeten) dan amanah.” Dua sifat ini – kompetensi dan amanah – amat sukar ditemui dalam satu individu. Ada yang sangat cekap tetapi kurang amanah, dan sebaliknya. Sebab itulah, kita di KDN mengamalkan konsep syura dan musyawarah dalam membuat keputusan.
Contohnya, apabila kita menangani isu kecurian kabel projek ECRL baru-baru ini, saya memanggil Ketua Polis Negeri yang terlibat untuk berbincang. Kita kenal pasti ‘hotspot’, kita rancang tindakan, dan kita bentangkan cadangan kepada Menteri Pengangkutan. Begitulah pentingnya musyawarah dalam pentadbiran.
Proses pelaksanaan pindaan perlembagaan berkaitan kewarganegaraan juga saya pantau rapat. Bahagian perolehan, pelaksanaan, JPN, serta sistem dalam talian – semuanya terlibat dan perlu diselaraskan. Ini semua tidak boleh dilakukan oleh satu individu sahaja. Justeru, kita perlukan pasukan dan kebijaksanaan kolektif.
Pagi ini, ketika Majlis Raja-Raja sedang bersidang, kita menyaksikan sendiri amalan syura berlangsung – untuk menentukan kedudukan Ketua Hakim Negara misalnya. Di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Inilah contoh syura yang sebenar, yang mengabsahkan sesuatu kepimpinan.
Dalam hal ini, janganlah kita memperlekeh atau meremehkan proses ini dengan pelbagai tuduhan. Kita perlu hormati proses dan institusi yang ada demi menjunjung keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Saya juga ingin menyentuh beberapa isu penting:
NSRC (National Scam Response Centre):
Kita telah mengambil langkah penting dengan mewujudkan NSRC yang diketuai oleh PDRM bersama Bank Negara, MCMC dan NFCC. Saya telah penuhi janji kepada Bahagian Komersial untuk memperkukuh peranan mereka. Trend penipuan atas talian meningkat dan memerlukan perhatian serius.
Jenayah seksual:
Saya menerima taklimat tengah malam mengenai jenayah seksual termasuk kes rogol bayi berusia tiga bulan yang dirakam dan dijual. Ini bukan isu kecil. Saya telah arahkan pegawai dihantar segera untuk latihan dan memperkukuh keupayaan siasatan jenayah jenis ini.
Dadah:
Dari Januari hingga Jun tahun ini, kita telah rampas dadah seberat lebih 45.6 tan bernilai RM1.7 bilion, dan menahan lebih 135,000 suspek. Saya turun sendiri ke Kelantan untuk melihat sendiri situasi di sana dan memberikan sokongan penuh kepada Bahagian Narkotik.
Indeks Keselamatan Sempadan Negara (IPSOM):
Kita akan melancarkan indeks ini yang dibangunkan oleh PDRM dan UiTM, melibatkan 31 agensi dan 54 indikator. Ia menjadi asas strategi keselamatan sempadan yang berfakta dan bersasar. Kita juga selaraskan dengan Global Peace Index di mana Malaysia kini berada pada kedudukan ke-13 dunia dan kedua di ASEAN selepas Singapura.
Akhir kata, saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan pelancaran indeks keselamatan sempadan negara hari ini. Juga terima kasih kepada Ketua Setiausaha yang telah menjemput saya ke Pangkalan Abai dan kepada seluruh warga KDN atas kerja keras kalian.
Marilah kita terus berkhidmat dengan amanah dan cekap. Jika tidak dapat menghimpunkan dua sifat itu dalam satu individu, kita pastikan ianya wujud dalam pasukan kita melalui syura dan musyawarah.
Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ruangan Komen: