Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Dalam sesi Pertanyaan Jawab Lisan Dewan Rakyat pada 27 Januari 2026, saya telah menjelaskan pendirian dan langkah Kerajaan, melalui Kementerian Dalam Negeri, dalam menangani jenayah penipuan kewangan dalam talian yang semakin membimbangkan, khususnya yang melibatkan penyalahgunaan mule account.
Isu penipuan kewangan bukan sekadar melibatkan kerugian wang rakyat, malah memberi kesan langsung terhadap keselamatan ekonomi, keyakinan masyarakat dan kestabilan sistem kewangan negara. Justeru, Kerajaan memandang serius perkara ini dan mengambil pendekatan tegas, berasaskan undang-undang serta penguatkuasaan yang berkesan.
Untuk makluman, Parlimen telah meluluskan pindaan kepada Kanun Keseksaan melalui Subseksyen 424A hingga 424D bagi membolehkan tindakan lebih jelas dan tegas diambil terhadap individu yang terlibat dalam penyalahgunaan akaun kewangan bagi tujuan penipuan. Sehingga kini, di bawah Subseksyen 424A sahaja, sebanyak 51 kes telah dilaporkan, dengan 20 kes telah dituduh di mahkamah, manakala selebihnya masih dalam siasatan.
Subseksyen ini merupakan peruntukan yang paling banyak digunakan kerana ia melibatkan pemilikan atau kawalan terhadap instrumen pembayaran seperti akaun bank, kad ATM, kad debit dan kad kredit. Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda dan hukuman penjara sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Selain menjawab soalan utama, beberapa isu tambahan turut dibangkitkan oleh Ahli-ahli Dewan, antaranya berkaitan keberkesanan pemulihan wang mangsa, pembekuan akaun mule account, tempoh siasatan pihak polis serta peranan institusi kewangan dalam menangani jenayah penipuan ini.
Dalam hal ini, Kerajaan memberi penekanan kepada usaha pemulihan wang mangsa penipuan. Bagi tempoh tahun 2024 hingga 2025, sejumlah RM7.2 juta wang mangsa telah berjaya diselamatkan dan dipulangkan, dengan RM6.7 juta direkodkan pada tahun 2025 sahaja.
Keupayaan ini diperkukuh melalui pengoperasian Pusat Respons Scam Kebangsaan atau NSRC menerusi talian 997 yang kini beroperasi 24 jam sehari. Pusat ini disokong oleh Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia bagi membolehkan tindakan pantas diambil untuk mengesan, membekukan dan menyekat transaksi yang mencurigakan.
Kerajaan tidak menafikan bahawa kadar pemulihan ini masih perlu dipertingkatkan. Oleh itu, Kementerian Dalam Negeri terus menambah baik prosedur operasi standard, termasuk menekankan kepentingan laporan awal dalam tempoh 48 jam pertama serta memperkukuh kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa dan institusi kewangan.
Selain itu, analisis terhadap profil mangsa turut dijalankan bagi membantu perancangan dasar yang lebih berkesan. Statistik menunjukkan bahawa mangsa datang daripada pelbagai latar belakang termasuk sektor swasta, penjawat awam, pelajar, pesara dan ahli perniagaan.
Kerajaan menegaskan bahawa usaha memerangi jenayah penipuan kewangan memerlukan pendekatan berterusan, bersepadu dan berpaksikan dasar. Langkah pengukuhan undang-undang, pengoperasian NSRC serta tindakan terhadap penyalahgunaan mule account merupakan antara komitmen berterusan Kerajaan dalam melindungi kepentingan rakyat dan memperkukuh keselamatan negara.
Terima kasih.







Ruangan Komen: