Pada sebelah petang pula saya telah mengadakan lawatan bagi meninjau sendiri status Pelaksanaan Projek Pembinaan 17 Unit Rumah Ganti dan Kemudahan Awam kepada mangsa banjir puing Kampung Iboi yang terkesan akibat tragedi kepala air di Sungai Kupang, Baling pada 4 Julai 2022.
Dalam kapasiti saya sebagai Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kedah, saya melihat sendiri kemajuan kerja yang kini telah mencapai 95% siap. Apa yang tinggal hanyalah kerja-kerja akhir melibatkan penyambungan utiliti dan insyaAllah, ia dijangka siap sepenuhnya menjelang minggu ketiga bulan Julai ini.
Projek ini dibiayai dengan peruntukan RM3 juta dari Kerajaan Persekutuan, meliputi pembinaan 17 buah rumah lengkap dengan kemudahan asas seperti jalan, saliran, dan sistem air bersih.
Saya percaya bahawa kejayaan projek ini membawa dua erti besar. Pertama, ia memberikan tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat untuk penduduk yang terkesan. Kedua, ia membawa ketenangan jiwa kepada keluarga-keluarga ini, bahawa mereka tidak lagi perlu hidup dalam kebimbangan berulangnya banjir atau kehilangan tempat tinggal.
Inilah yang kita maksudkan dengan kebajikan rakyat yang benar-benar diterjemahkan melalui tindakan. Kerajaan bukan hanya mendengar, tetapi turut bertindak dengan dasar, peruntukan dan pelaksanaan yang menyentuh kehidupan sebenar rakyat di bawah.
Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, terutamanya Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah sebagai agensi pelaksana, kontraktor, pegawai daerah, hingga ke petugas lapangan yang memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut masa dan spesifikasi.
InsyaAllah, tidak lama lagi keluarga-keluarga ini akan dapat kembali ke kehidupan yang lebih tenang dan teratur. Dan kerajaan akan terus memainkan peranan memastikan kebajikan mereka sentiasa dijaga.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
Ruangan Komen: