
Sebelum ini saya ada menerima beberapa aduan berkenaan fasiliti di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. Semalam, bila berpeluang menjejakkan kaki sendiri ke sana, barulah saya nampak sendiri keadaan yang dimaksudkan.
Banyak kemudahan sudah tidak lagi selesa digunakan. Ada aras yang terpaksa ditutup kerana risiko banjir, tandas uzur, dinding pula bocor. Inilah realiti yang dihadapi pelatih saban hari. Latihan yang keras itu memang lumrah, tapi biarlah dilakukan dalam fasiliti yang selesa dan selamat.
Saya pandang serius perkara ini. Saya tidak mahu ia tinggal sebagai aduan tanpa tindakan. Sebab itu saya telah minta Datuk KSU untuk teliti segera, dan insyaAllah saya sendiri akan menulis surat kepada YAB Perdana Menteri agar usaha naik taraf ini diberi perhatian sewajarnya.
Dalam pertemuan tadi, saya juga sempat menitipkan amanat kepada Inspektor Pelatih Bil. 13 Siri 1/2025. Saya tekankan bahawa menjadi pegawai polis bukan sekadar soal pangkat atau jawatan, tetapi soal amanah. Amanah menjaga keselamatan negara, mempertahankan undang-undang, dan berdiri teguh demi rakyat.
Justeru, untuk membentuk pegawai yang benar-benar mampu memikul tanggungjawab tersebut, mereka perlu ditempa melalui latihan yang mantap dan sokongan fasiliti yang baik dan terurus.
Ruangan Komen: