Lawatan ke Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) - Saifuddin Nasution
Lawatan ke Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone)
July 16, 2025

Tahun ini merupakan tahun kedua Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menjemput para diplomat dan perwakilan asing ke Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) untuk melihat dan menilai sendiri bagaimana situasi sebenar di lapangan.
Seramai 15 orang wakil diplomatik dan pegawai perwakilan daripada 10 buah negara, termasuk Amerika Syarikat, Australia, Jerman, Belgium, Ireland, Kanada, China, Korea, Sepanyol dan New Zealand, telah menyertai lawatan lapangan ke beberapa lokasi pelancongan utama seperti Pulau Omadal, Pulau Sibuan, Pulau Bohey Dulang dan Pulau Mataking.
Saya anggap program ini sebagai satu langkah penting dan strategik untuk memberi gambaran yang sebenar kepada masyarakat antarabangsa bahawa kawasan pantai timur Sabah adalah sebuah wilayah yang aman, stabil dan selamat untuk dikunjungi.
Seperti yang kita sedia maklum, masih ada negara yang mengekalkan nasihat perjalanan (travel advisory) yang tidak menggalakkan rakyat mereka melancong ke pantai timur Sabah. Atas sebab itulah pendekatan bersemuka seperti ini menjadi sangat penting kerana kita mahu persepsi diperbetulkan, dan keyakinan antarabangsa dapat dipulihkan.
Sabah, khususnya di kawasan timur, bukan sahaja aman dan selamat, malah penuh potensi sebagai destinasi pelancongan yang strategik, indah dan berdaya saing. Ini mesej utama yang ingin kita sampaikan kepada dunia, secara langsung dan tanpa selindung.
Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah (KePKAS) atas sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan, baik dari aspek logistik, penyelarasan teknikal mahupun komitmen strategik yang menjadi tunjang kejayaan program ini.
Saya percaya, bila keyakinan terbina, pelaburan dan pelancongan akan kembali. Bukan kerana kita meminta simpati, tetapi kerana mereka sendiri telah melihat bukti.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#KementerianDalamNegeri

Ruangan Komen:

Loading...