Majlis Anugerah Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis bagi tahun 2024 - Saifuddin Nasution
Majlis Anugerah Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis bagi tahun 2024
May 15, 2025

Tahniah saya ucapkan kepada 462 orang Pegawai Polis yang telah menerima Anugerah Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis bagi tahun 2024 hari ini dalam satu majlis penuh istiadat yang julung-julungnya diadakan di PULAPOL, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim telah berkenan untuk mengurniakan Pingat Darjah Kepahlawan Pasukan Polis (DKPP) Tahun 2024 kepada 600 orang Pegawai Polis dimana 100 orang daripada mereka telahpun menerima Darjah Kebesaran pada 30 Oktober 2024 di Istana Negara manakala baki penerima dititah oleh baginda KDYMM SPB YDPA Sultan Ibrahim untuk disampaikan oleh saya.

Alhamdulillah majlis hari ini berjalan lancar, saya menyampaikan lima jenis Anugerah Darjah Kebesaran Pasukan Polis iaitu Darjah Kebesaran Pangkat Pertama Panglima Gagah Pasukan Polis (P.G.P.P), Darjah Kebesaran Pangkat Kedua Panglima Setia Pasukan Polis (P.S.P.P), Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga Pahlawan Pasukan Polis (P.P.P), Darjah Kebesaran Pangkat Keempat Kesatria Pasukan Polis (K.P.P) dan Darjah Kebesaran Pangkat Kelima Bentara Pasukan Polis (B.P.P).

Anugerah ini adalah pengiktirafan tertinggi kepada keberanian, kecekalan dan kesetiaan para pegawai Polis kita dalam mempertahankan keselamatan negara. Di sebalik setiap pingat yang disemat, tersimpan kisah pengorbanan yang tidak didendangkan—berdepan risiko, meninggalkan keluarga, dan berdiri teguh demi amanah yang dipikul.

Saya mewakili Kerajaan MADANI mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penerima. Semoga anugerah ini menjadi pemangkin semangat untuk terus berbakti, serta inspirasi kepada anggota-anggota lain untuk terus menunjukkan kecemerlangan dan keberanian dalam setiap tugasan.

Teruskan berjuang, demi Malaysia yang aman, selamat dan sejahtera – Polis & Masyarakat Berpisah Tiada!

Ruangan Komen:

Loading...