Majlis Peluncuran Tiga Batalion Baharu PGA di Ibu Pejabat Briged Sabah iaitu Batalion 21 PGA Keningau, Batalion 22 PGA Kunak dan Batalion 23 PGA Sri Aman - Saifuddin Nasution
Majlis Peluncuran Tiga Batalion Baharu PGA di Ibu Pejabat Briged Sabah iaitu Batalion 21 PGA Keningau, Batalion 22 PGA Kunak dan Batalion 23 PGA Sri Aman
June 16, 2025

Pasukan Gerakan Am (PGA) sentiasa menjadi tulang belakang ketenteraman negara dan hari ini, kita menyaksikan satu lagi langkah bersejarah dalam memperkukuh peranan penting ini.

Saya berkesempatan menyampaikan amanat semasa hadir ke Majlis Peluncuran Tiga Batalion Baharu PGA di Ibu Pejabat Briged Sabah iaitu Batalion 21 PGA Keningau, Batalion 22 PGA Kunak dan Batalion 23 PGA Sri Aman yang ditubuhkan menerusi Projek Pengukuhan dan Penstrukturan PGA.

Peluncuran batalion-batalion ini merupakan manifestasi jelas komitmen berterusan PDRM dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. Ia mengesahkan kesiapsiagaan pasukan dalam menghadapi sebarang cabaran dan senario keselamatan, khususnya di Sabah yang menjadi antara lokasi strategik negara.

Kerajaan Malaysia terus menunjukkan komitmen teguh dalam memperkukuh keupayaan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM45 juta pada tahun 2023 dan RM43.5 juta pada tahun 2024 bagi tujuan kerja-kerja penyelenggaraan serta perolehan peralatan di pos-pos PGA seluruh negara.

Seterusnya, menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 5 (RMK 12 RP 5), kerajaan telah memperuntukkan RM103 juta kepada PGA untuk pelaksanaan pelbagai inisiatif – termasuk pembaikan infrastruktur, naik taraf pos, serta perolehan aset penting. Ini turut merangkumi usaha menaik taraf penempatan sementara bagi ketiga-tiga batalion baharu ini.

Beberapa projek sedia ada juga telah mendapat kelulusan untuk diteruskan, sebagai sebahagian usaha menyeluruh memperkukuh kesiapsiagaan PGA. Keseluruhan dana ini amat penting demi memastikan fasiliti yang lebih kondusif dan kebajikan petugas barisan hadapan sentiasa terjaga.

Saya penuh yakin, ketiga-tiga batalion baharu ini akan memperkukuh lagi keupayaan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat, demi menjamin keselamatan dan keamanan negara di tahap tertinggi. Diharapkan seluruh warga PGA akan terus menabur bakti dengan penuh iltizam dan profesionalisme, demi tanah air yang tercinta.

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#KementerianDalamNegeri

Ruangan Komen:

Loading...