Majlis Penyerahan Projek Siap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, Perak - Saifuddin Nasution
Majlis Penyerahan Projek Siap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, Perak
October 17, 2025

Saya hadir ke Majlis Penyerahan Projek Siap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, Perak, sebuah projek yang berjaya disiapkan dengan sempurna oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perak di bawah kendalian Bahagian Pasukan Projek Persekutuan (HOPT) Cawangan Keselamatan, dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Ekonomi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

IPD ini pada asalnya dikenali sebagai IPD Tanjung Malim, yang telah siap dibina dan beroperasi sejak tahun 1984. Susulan penaiktarafan kawasan Muallim sebagai daerah baharu ke-11 di Negeri Perak, yang diisytiharkan oleh DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak Darul Ridzuan pada 11 Januari 2016, IPD ini distruktur semula dan dinamakan sebagai IPD Muallim bagi memenuhi tanggungjawab keselamatan di bawah pentadbiran daerah baharu ini.
Memandangkan bangunan lama telah berusia lebih 30 tahun dan semakin uzur, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) pada tahun 2016 telah meluluskan pembinaan semula IPD Muallim dengan kos projek sebanyak RM85 juta.
Projek ini bukan sekadar menampilkan bangunan baharu yang moden, tetapi turut dilengkapi dengan 61 unit kuarters kediaman pelbagai kelas, melambangkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan warga PDRM yang terus berkhidmat menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat.
Saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas semangat, dedikasi dan komitmen tinggi dalam memastikan projek ini disiapkan dengan jayanya walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh pelaksanaannya.

Ruangan Komen:

Loading...