Alhamdulillah pagi tadi saya menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan kali ke-90 Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Terima kasih saya ucapkan kepada YAB Perdana Menteri atas keyakinan dan sokongan terhadap Koperasi Polis Diraja Malaysia ini. YAB Perdana Menteri turut menyampaikan pampasan skim takaful berkelompok kepada waris anggota-anggota FRU yang terlibat dalam kemalangan tragik tempoh hari.
Tahniah kepada Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad yang terus menunjukkan prestasi kukuh dengan pengumuman agihan dividen hasil keuntungan operasi sebenar – bukan dari aset atau modal. Ini membuktikan tadbir urus yang cekap dan berhemah. Saya percaya “track record” yang baik ini akan diteruskan pada masa akan datang dan terus memberi manfaat kepada ahli-ahlinya.
Seiring dengan pengumuman YAB Perdana Menteri di dalam ucapan beliau, KDN komited untuk memberi peluang kepada Koperasi PDRM untuk melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah KDN – dengan syarat mesti memenuhi piawaian tadbir urus, kompetensi, dan harga berpatutan. Fokus akan diberikan kepada projek fizikal yang telah mendapat kelulusan peruntukan tetapi belum dianugerahkan, seperti IPK baharu di Kelantan, Perak, Pulau Pinang serta beberapa IPD baharu.
Perlu saya tegaskan disini bahawa ini bukan laluan pintas, tetapi satu peluang untuk membuktikan keupayaan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad dan komitmen KDN untuk terus menyokong institusi yang memainkan peranan yang besar kepada keseluruhan warga kerja PDRM. Saya menyeru pengurusan koperasi untuk bersedia dari segi struktur dan pasukan agar mampu menyahut peluang ini dengan penuh tanggungjawab dan integriti.
Lebih 100,000 anggota koperasi menaruh harapan. Kita sediakan laluan, mereka cipta kejayaan!
#MalaysiaMadani
#MadaniBekerja
#KementerianDalamNegeri
Ruangan Komen: