Seterusnya, saya bergerak ke Kampung Inderasabah di Tawau, Sabah iaitu kampung yang telah dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI bagi Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).
Pemilihan kampung ini bukan dibuat secara sewenang-wenangnya. Kampung Inderasabah mempunyai nilai tersendiri, baik dari aspek geografi, sosioekonomi dan potensi pembangunan. Ia terletak berhampiran sempadan perairan dengan negara jiran Indonesia, sekali gus menjadikan kedudukannya cukup signifikan dari sudut keselamatan dan kawalan sempadan negara.
Apa yang berlangsung hari ini bukan sekadar pelancaran atau simbolik semata-mata. Ia membawa makna lebih besar iaitu memperkasakan komuniti setempat dengan pendekatan lebih dekat, lebih menyeluruh dan lebih berimpak. Melalui program ini, pelbagai inisiatif akan diperkenalkan dan sudah tentu memberi manfaat terus kepada penduduk kampung.
Saya menyambut baik saranan pihak pengurusan ESSCOM untuk memilih Kampung Inderasabah sebagai Kampung Angkat MADANI. Ia bukan sahaja dapat menambah baik kemudahan asas dan prasarana di kampung ini, tetapi juga menjadi medan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan mereka dalam menjaga keselamatan, keharmonian dan kedaulatan negara, terutamanya di kawasan sempadan.
Justeru, saya meletakkan harapan besar agar pelaksanaan Kampung Angkat MADANI ini tidak terhenti sebagai program jangka pendek. Sebaliknya, ia mesti menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang progresif, berdaya saing dan cakna keselamatan.
Terima kasih kepada semua yang hadir dan memberi sokongan pada hari ini khususnya kepada warga Kampung Inderasabah yang menyambut kami dengan tangan terbuka.
#MADANIBekerja
#MalaysiaMadani
#RancakkanMADANI
#KementerianDalamNegeri
Ruangan Komen: