Memenuhi jemputan menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Strategik (SCO di China. - Saifuddin Nasution
Memenuhi jemputan menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Strategik (SCO di China.
September 10, 2025
Alhamdulillah, saya berkesempatan mendengar secara langsung syarahan umum YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri di Universiti Tianjin, China sebentar tadi. Lawatan rasmi beliau ke China kali ini adalah bagi memenuhi jemputan menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Strategik (SCO di China.
Di dalam ucapan beliau, YAB Perdana Menteri mengingatkan bahawa hubungan Malaysia–China berdiri di atas asas saling hormat dan kepercayaan dan walaupun China sebuah kuasa besar, namun pertemuan dengan Presiden Xi Jinping membuktikan bahawa hubungan ini dibina atas prinsip kesetaraan. Malaysia kecil dari segi saiz, tetapi suara kita tetap dihormati. Inilah nilai persahabatan sejati yang kita perlu pertahankan.
YAB Perdana Menteri turut menegaskan bahawa dunia hari ini berdepan cabaran besar — perpecahan dalam ekonomi global, aturan perdagangan yang berubah-ubah, serta wujudnya cubaan membina blok yang bersifat eksklusif. Namun beliau menolak pandangan bahawa perpecahan adalah satu kepastian. Malaysia dan Asia, katanya, boleh memilih untuk membina jambatan, bukannya tembok.
Beliau juga mengangkat hikmah daripada sejarah dan tradisi Asia, termasuk falsafah “harmony without uniformity” — keharmonian tanpa menyamaratakan identiti. Negara-negara boleh kekal berdaulat dalam sistem dan pilihan masing-masing, sambil terus bekerjasama demi kebaikan bersama.
Beberapa intipati ucapan beliau adalah:�
✅ Keamanan tidak boleh dianggap sesuatu yang kekal. Ia mesti dijaga dengan dialog, kepercayaan dan jaminan bahawa setiap negara mempunyai ruang untuk bernafas.
✅ Globalisasi perlu adil dan inklusif. Asia tidak boleh sekadar menjadi penonton, sebaliknya mesti menulis bab baharu dengan “dakwat Asia” agar suara rantau ini didengar.
✅ Kerjasama serantau adalah kunci. Malaysia, bersama negara Asia lain, perlu memastikan pembangunan, keadilan dan kelestarian menjadi teras masa depan.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 mahu memastikan ASEAN kekal inklusif, berdaya tahan, serta menjadi jambatan antara kuasa besar dunia. Tema “Inclusivity and Sustainability” akan menjadi panduan kita, agar setiap negara anggota merasai manfaat, tidak ada yang terpinggir, dan rantau ini terus makmur dalam suasana aman serta saling menghormati.
Bagi kita di Malaysia, ucapan ini membawa mesej jelas — bahawa hubungan antarabangsa mesti diasaskan pada keadilan, kesaksamaan dan inklusiviti. Malaysia mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian global, bukan sekadar penerima keadaan.
Marilah kita mengambil semangat ini untuk memperkukuh kedudukan Malaysia di persada dunia, memastikan suara rakyat Malaysia kekal dihormati, dan menjadikan rantau Asia khususnya ASEAN sebagai wilayah yang aman, makmur dan berdaulat.

Ruangan Komen:

Loading...