Menghadiri Perhimpunan Bulanan & Sambutan Hari Inovasi 2025 KDN - Saifuddin Nasution
Menghadiri Perhimpunan Bulanan & Sambutan Hari Inovasi 2025 KDN
November 3, 2025

Sudah menjadi denyut nadi dalam budaya kerja KDN untuk kita berhimpun setiap bulan melalui Perhimpunan Bulanan, ruang yang bukan sekadar menyampaikan amanat, tetapi juga mengikat semula semangat kebersamaan sebagai satu keluarga besar KDN.

Alhamdulillah, bagi bulan Oktober 2025, tanggungjawab menganjurkan perhimpunan kali ini telah digalas dengan penuh cemerlang oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh warga APMM atas komitmen dan penganjuran yang begitu teratur serta bersemangat.
Dalam amanat saya tadi, saya turut menyentuh mengenai Belanjawan KDN bagi tahun hadapan yang diperuntukkan sebanyak RM21.2 bilion, merangkumi Perbelanjaan Mengurus (OE) dan Perbelanjaan Pembangunan (DE). Daripada jumlah itu, RM1 bilion akan disalurkan bagi pembelian dan penyelenggaraan aset keselamatan, manakala RM1.5 bilion lagi diperuntukkan untuk pembinaan serta naik taraf fasiliti badan beruniform di bawah KDN.
Semua ini adalah cerminan kepercayaan kerajaan terhadap peranan besar yang dimainkan oleh KDN dalam memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
Dalam kesempatan yang sama, hari ini turut diadakan Majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat KDN. Saya berpeluang meluangkan masa meninjau ruang pameran dan melihat sendiri hasil-hasil inovasi yang dihasilkan oleh warga KDN daripada pelbagai jabatan dan agensi. Saya kagum dengan tahap kreativiti, daya cipta dan semangat pembaharuan yang ditunjukkan.
Hari ini juga, saya menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas penganugerahan Beret Laskar Merah Saga daripada Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR TEAM) APMM.
Saya menganggap penganugerahan ini sebagai tanda penghormatan yang besar, bukan kepada diri saya semata-mata, tetapi kepada seluruh warga KDN yang sentiasa berdiri teguh bersama agensi-agensi penguatkuasaan di bawahnya.

Ruangan Komen:

Loading...