Meninjau Kampung Angkat Madani Jabatan Imigresen Malaysia. - Saifuddin Nasution
Meninjau Kampung Angkat Madani Jabatan Imigresen Malaysia.
September 10, 2025
Alhamdulillah, hari ini saya berada di Kampung Rambong Pulai, Baling, Kedah iaitu kampung yang telah dipilih sebagai Kampung Angkat Madani Jabatan Imigresen Malaysia.
Sama seperti kampung angkat lain, Kampung Rambong Pulai turut menerima peruntukan RM1 juta bagi pelbagai projek pembangunan, selain RM100,000 lagi khusus untuk Program Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Teluk Tendori.
Saya berpeluang meninjau sendiri beberapa projek yang sedang berjalan, antaranya pembaikan Masjid Al Hasaniyah, pembinaan gelanggang futsal, serta kerja naik taraf di Surau Al-Ikhlas, Surau Kampung Paya dan Dewan Al-Muttaqiim.
Semua usaha ini bukan sekadar menambah baik bangunan semata-mata, tetapi juga akan memberi nafas baharu kepada kehidupan masyarakat, dari aspek rohani, sosial, pendidikan hingga sukan dan kemasyarakatan.
Sebelum hadir ke majlis peluncuran, saya luangkan masa menunggang motor menziarahi penduduk sekitar Baling sambil menyampaikan sedikit sumbangan. Mungkin tidak seberapa, tapi insyaAllah cukup membawa makna.
Harapan saya, semoga program Kampung Angkat Madani ini menjadi titik tolak untuk lebih banyak perubahan positif di desa-desa kita. Bukan sahaja dari segi kemudahan, tetapi juga mengukuhkan semangat gotong-royong, kebersamaan dan kasih sayang antara masyarakat.

Ruangan Komen:

Loading...