Pada tempoh hari, saya dapat meninjau lokasi Projek Pembinaan Infrastruktur Sabo di Lembangan Sungai Kupang, Baling dan Projek Rancangan Tebatan Banjir Baling, Kedah (Fasa 1 dan 2).
Sistem SABO ini merupakan struktur empangan khas yang dibina untuk menahan sisa runtuhan seperti kayu, batu dan puing yang terbawa arus deras, terutamanya selepas hujan lebat atau kejadian tanah runtuh. Ia bukan sekadar menahan aliran puing, malah membantu memperlahankan kelajuan arus sungai.
Projek ini telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan susulan kejadian tanah runtuh dan aliran puing besar-besaran yang berlaku di Sungai Kupang sebelum ini. Dengan struktur ini, kita harap dapat mencegah tragedi yang sama daripada berulang dan memberikan perlindungan yang lebih efektif kepada orang awam serta harta benda mereka.
Kerajaan Persekutuan juga cakna terhadap masalah banjir yang berterusan di Daerah Baling iaitu peningkatan sebanyak 17 kejadian banjir pada tahun 2024 berbanding 10 pada tahun 2023. Susulan itu, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan dua Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) iaitu RTB Baling (Sungai Kupang) dan RTB Baling Fasa 2.
Kedua-dua projek RTB ini kini berada di peringkat awal pembinaan. Namun apabila siap kelak, ia dijangka memberi manfaat secara langsung kepada lebih 5,000 penduduk di sekitar Pekan Baling.
Sebagai Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kedah, saya akan terus memantau rapat pelaksanaan projek-projek ini, termasuk dari segi jadual, kualiti kerja dan koordinasi antara agensi. Kita tidak boleh membiarkan sebarang kelewatan atau ketidaktepatan menjejaskan keperluan rakyat yang sudah lama menanti penyelesaian.
Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan usaha ini dan insyaAllah, saya akan terus pastikan projek-projek ini berjalan lancar, dan rakyat Baling menerima perlindungan serta manfaat yang mereka berhak nikmati.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
Ruangan Komen: