Usai sesi di Parlimen, saya terus ke Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
MoU ini menandakan permulaan kerjasama strategik antara dua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi memperkukuh fungsi tribunal perkahwinan di bawah Bahagian Perkahwinan dan Perceraian (BKC), JPN.
Selama ini, BKC berperanan mendaftarkan perkahwinan dan perceraian sivil bagi pasangan bukan Islam. Namun dalam aspek kaunseling dan pendamaian, keupayaannya agak terhad. Di sinilah LPPKN melengkapkan peranan tersebut melalui khidmat kaunseling profesional yang mampu membantu pasangan berkonflik mencari titik damai dan memahami makna sebenar sebuah perkahwinan.
Kerjasama ini telah diuji melalui Projek Rintis Badan Pendamai di Kuala Lumpur (Nov 2024 – Sep 2025). Hasilnya amat memberangsangkan iaitu 16% daripada 83 pasangan berjaya didamaikan di bawah bimbingan LPPKN, berbanding hanya 2% kadar kejayaan nasional sebelum ini.
Kejayaan rintis inilah yang menjadi asas kepada pemeteraian MoU hari ini. Melalui perjanjian selama tiga tahun hingga 2028, kerjasama ini akan diperluas ke seluruh negara dan digerakkan melalui lima bidang utama termasuk penyelidikan, pembangunan dan pewartaan LPPKN sebagai badan pendamai rasmi.
Besar harapan saya agar kerjasama ini menjadi landasan kukuh dalam memperkasa institusi kekeluargaan di negara kita.







Ruangan Komen: