Menziarahi keluarga Allahyarham Konstabel Akmal Wafi Annuar - Saifuddin Nasution
Menziarahi keluarga Allahyarham Konstabel Akmal Wafi Annuar
July 16, 2025

Kebetulan sudah berada di Kedah hari ini, saya ambil peluang untuk menziarahi keluarga Allahyarham Konstabel Akmal Wafi Annuar, salah seorang anggota FRU yang terlibat dalam insiden tempoh hari.

Allahyarham Wafi sebenarnya baru sahaja memulakan langkah dalam dunia kepolisan dan ketika kejadian berlaku, beliau masih dalam tempoh percubaan. Saya maklumkan kepada keluarganya bahawa saya telah membawa perkara ini kepada Suruhanjaya Pasukan Polis dan Alhamdulillah, penjawatan Allahyarham kini telah disahkan secara rasmi.

Ini penting, agar ibu-bapa beliau layak menerima pencen bulanan sebagai waris. Setidak-tidaknya ada sedikit bantuan berterusan untuk keluarga yang ditinggalkan.

Allahyarham adalah anak sulung daripada lima beradik. Sempat saya duduk sekejap bersama keluarga dan berbual dengan adik-adiknya. Saya pesan pada mereka supaya belajar dengan rajin, kuatkan semangat dan banggakan ibu bapa seperti mana arwah pernah lakukan.

Pengorbanan Allahyarham bukan kecil. Beliau pergi ketika menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai anggota keselamatan negara.

Saya doakan semoga roh Allahyarham Konstabel Akmal Wafi Annuar dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang-orang yang beriman. InsyaAllah, jasa dan pengorbanannya akan terus dikenang sebagai wira negara.

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#KementerianDalamNegeri

Ruangan Komen:

Loading...