Tiada kata yang mampu mengubat kehilangan. Namun, kehadiran saya hari ini menziarahi waris tiga orang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam tragedi semalam adalah tanda simpati dan penghormatan yang tidak berbelah bahagi.
Di setiap rumah yang saya kunjungi hari ini, saya melihat wajah-wajah yang menyimpan kesedihan yang amat dalam. Saya tidak hadir membawa jawapan mengapa tragedi ini berlaku. Tetapi saya hadir membawa doa dan janji — bahawa pengorbanan mereka akan terus dikenang, dan keluarga yang ditinggalkan tidak akan dibiarkan bersendirian.
Kerajaan Malaysia Madani amat menghargai sumbangan dan pengorbanan semua pegawai serta anggota keselamatan, khususnya mereka yang terlibat dalam penugasan kritikal. Justeru, kami komited memastikan kebajikan keluarga, pasangan, dan anak-anak anggota yang terkorban sentiasa terbela.
KDN telah menugaskan pasukan kaunselor khas untuk membantu keluarga melalui detik sukar ini. Dalam masa yang sama, bantuan tunai segera turut disalurkan — termasuk sumbangan peribadi saya serta RM1,000 daripada YAB Menteri Besar Perak dan RM1,200 daripada pasukan — bagi meringankan urusan pengurusan jenazah.
Sebahagian besar mangsa telah pun dikebumikan sebaik sahaja proses bedah siasat selesai. Saya juga telah mengarahkan agar penyaluran insurans kelompok disegerakan dalam tempoh dua hingga tiga minggu agar keluarga merasai keprihatinan pasukan terhadap penderitaan mereka.
Pagi tadi, mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri turut bertafakur dan menyedekahkan Al-Fatihah kepada para mangsa, serta membincangkan langkah susulan. Kementerian Pengangkutan akan membentangkan laporan siasatan dalam tempoh sebulan, dan siasatan oleh Polis Diraja Malaysia terhadap pemandu lori yang terlibat sedang dijalankan.
Sebelum bergerak pulang, saya turut meluangkan masa melawat seorang anggota FRU yang kini sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun akibat kecederaan dari insiden sama. Doa kita bersama agar beliau segera pulih dan kembali sihat.
Pengorbanan para anggota yang telah pergi ini tidak akan dilupakan. Mereka gugur dalam tugas. Mereka pergi demi memastikan keselamatan kita semua terpelihara. Nama mereka akan terus hidup dalam ingatan kita sebagai wira negara.
Semoga roh kesemua wira negara ini dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada serta orang-orang yang beriman.
Keselamatan bukan sahaja keutamaan kepada rakyat Malaysia, tetapi juga kepada setiap anggota yang berkhidmat di bawah Kementerian Dalam Negeri.
Al-Fatihah buat para wira negara.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#KementerianDalamNegeri
Ruangan Komen: