Merasmikan Kompleks Songket Kenyalang Penjara Puncak Borneo - Saifuddin Nasution
Merasmikan Kompleks Songket Kenyalang Penjara Puncak Borneo
October 17, 2025

Tiba di bumi Kenyalang, untuk merasmikan Kompleks Songket Kenyalang Penjara Puncak Borneo, satu lagi inisiatif bermakna di bawah Jabatan Penjara Malaysia.
Di Sarawak, songket bukan sekadar sehelai kain. Ia lambang identiti, warisan, dan kebanggaan. Setiap motif dan corak membawa cerita, tentang asal-usul, tentang semangat, tentang siapa kita.
Apa yang menjadikan kompleks ini begitu istimewa bukan sekadar hasil tenunannya yang halus dan memukau, tetapi kerana penglibatan peserta-peserta daripada program pemulihan Jabatan Penjara Malaysia.
Bagi saya, ini satu langkah yang amat bijak dan bermakna. Apabila mereka keluar nanti, bakat yang diasah ini bukan sekadar kemahiran, tetapi bekal untuk mereka berdikari dan kembali menyumbang kepada masyarakat.
Kebanyakan mereka ini datang dengan kosong, tanpa sebarang kemahiran. Tapi bila diasuh, dibimbing dan diberi peluang, mereka bukan saja belajar, malah mampu menghasilkan karya seni yang begitu halus dan bernilai tinggi.
Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Penjara Malaysia, seluruh tenaga pengajar dan komuniti setempat yang menjadi tulang belakang kejayaan ini. Inilah contoh terbaik bagaimana pemulihan bukan sekadar membetulkan kesilapan, tetapi membina semula manusia dengan kasih, peluang dan kepercayaan.

Ruangan Komen:

Loading...