Sewaktu hadir merasmikan Simposium Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak Pelarian Tanpa Penjaga dan Terpisah di Malaysia, saya sempat bangkitkan tentang realiti yang sedang kita hadapi di negara ini.
Malaysia memang antara negara yang tidak menandatangani Konvensyen 1951 mengenai Pelarian. Namun hakikatnya, negara kita tetap menjadi persinggahan dan tempat perlindungan puluhan ribu pelarian, termasuk kanak-kanak.
Kanak-kanak ini datang tanpa pilihan. Ada yang kehilangan ibu bapa akibat konflik, ada yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan, dan ada juga yang lahir di Malaysia tetapi tanpa dokumen pengenalan diri. Setiap kisah mereka benar-benar menguji nilai kemanusiaan kita.
Di pihak kerajaan, khususnya KDN, kita berdepan dilema iaitu untuk menegakkan undang-undang imigresen, namun pada masa yang sama memastikan hak dan kepentingan kanak-kanak ini tidak terabai.
Sebab itu saya memberi jaminan kepada peserta simposium, jika ada idea segar dan praktikal yang boleh membantu mencari jalan keluar, kami di KDN terbuka menerima saranan dan kami akan laksanakan sebaik mungkin.
Setinggi-tinggi penghargaan buat Institut Kajian Etnik (KITA-UKM) sebagai rakan strategik KDN dalam menjayakan simposium ini. Semoga ia menjadi titik tolak kepada pendekatan yang lebih manusiawi dalam menangani isu pelarian kanak-kanak di Malaysia.








Ruangan Komen: