Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) ini mungkin tidak sebesar agensi lain dari segi saiz dan struktur, namun peranannya amat besar dan signifikan.
Ketika merasmikan Simposium JPPM 2025 pagi tadi, saya turut mengajak semua peserta untuk memberikan teguran, pandangan dan kritikan membina terhadap fungsi serta peranan jabatan ini. JPPM beroperasi berasaskan Akta Pertubuhan 1966, yang telah sekian lama menjadi kerangka utama tadbir urus pertubuhan di Malaysia. Namun zaman telah berubah, teknologi, budaya masyarakat dan corak penglibatan awam kini jauh berbeza berbanding enam dekad lalu.
Maka, sudah tiba masanya kita menilai semula akta ini agar ia lebih relevan, anjal dan berpaksikan realiti semasa. Undang-undang tidak harus menjadi pengikat, tetapi pemudah yang melindungi kepentingan rakyat tanpa mengekang kebebasan bersuara dan berorganisasi.
Saya juga menekankan tentang anjakan dalam sistem penyampaian ROS. Kini, banyak urusan tidak lagi memerlukan kehadiran di kaunter fizikal kerana jabatan telah memperkenalkan platform eROSES v2.0, sebuah sistem digital yang membolehkan pelbagai urusan diselesaikan di hujung jari. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan ketelusan, malah mencerminkan kemajuan negara dalam penggunaan inovasi dan teknologi terkini.
Kita mahu sebuah jabatan yang bukan sahaja mengurus, tetapi memudah cara, mendengar dan menyesuaikan diri dengan keperluan semasa rakyat.







Ruangan Komen: