Saya berkesempatan merasmikan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan (SSPDK) 2025 yang dianjurkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), sebuah platform untuk membincangkan cabaran semasa serta mencari pendekatan dan amalan terbaik dalam menangani isu penagihan dadah di Malaysia.
Sepanjang sesi perbincangan, sepuluh kertas kajian telah dibentangkan dan hasilnya, lima resolusi utama dirumus bagi membantu kerajaan dan AADK memperkukuh strategi memerangi dadah, bukan sekadar melalui penguatkuasaan, tapi juga melalui usaha pemulihan, penglibatan komuniti dan pendidikan awam.
Saya tegaskan dalam ucapan bahawa dadah kekal menjadi ancaman nombor satu negara. Ia bukan sekadar isu jenayah, tetapi masalah sosial dan kemanusiaan yang memerlukan pendekatan menyeluruh.
Sebab itu, saya ingatkan bahawa usaha memerangi dadah tidak boleh hanya digalas oleh kerajaan atau AADK semata-mata. Ia mesti bersifat “the whole of society approach”, merangkumi penglibatan semua pihak: keluarga, komuniti, sekolah, institusi agama, badan bukan kerajaan, sektor swasta, malah individu itu sendiri.
Hanya dengan penglibatan menyeluruh, barulah kita mampu membina ekosistem masyarakat yang lebih kuat dan berdaya tahan terhadap pengaruh dadah.







Ruangan Komen: