Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) Peringkat Negeri Kedah - Saifuddin Nasution
Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) Peringkat Negeri Kedah
September 10, 2025
Program MADANI Rakyat (PMR) Peringkat Negeri Kedah yang dituanrumahkan oleh Kementerian Dalam Negeri melabuhkan tirainya hari ini, dengan penutup disempurnakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim.
PMR ini bukan sekadar sebuah program, tetapi peluang untuk rakyat berjumpa terus dengan agensi kerajaan tanpa sebarang jurang. Di sinilah rakyat boleh mendapatkan khidmat, bertanya soalan, mencari peluang, malah merasai sendiri bagaimana kerajaan turun mendekat ke tengah masyarakat.
Dalam ucapannya, YAB Perdana Menteri menekankan bahawa hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri akan terus diperkukuhkan. Bukan sekadar dalam kata-kata, malah ia dizahirkan dalam bentuk sokongan nyata, termasuklah sumbangan sebanyak RM300,000 kepada Persekutuan Penanam-Penanam Padi Kedah Darul Aman.
Ini satu bukti keprihatinan kerajaan terhadap pesawah, yang saban hari bekerja keras untuk memastikan kita semua mendapat bekalan makanan. Pertanian bukan sekadar pekerjaan, ia adalah nadi kehidupan, dan di Kedah inilah terletaknya jantung pertanian negara.
Selain itu, pelbagai inisiatif turut disampaikan hari ini daripada penyerahan Sijil Penghargaan Keselamatan, dokumen Mekar Didik, geran SejaTi MADANI, hinggalah bantuan Peranti MADANI (PERMAI). Setiap satunya membawa mesej jelas bahawa kerajaan mahu bersama-sama rakyat, membantu apa yang termampu, dan memastikan tiada siapa pun yang tercicir daripada arus pembangunan.
Saya ingin merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program ini. Para petugas yang bekerja tanpa mengira masa, sukarelawan yang menyumbang tenaga dan idea, serta agensi-agensi kerajaan yang berganding bahu menjadikan PMR Kedah kali ini benar-benar berjaya.
Namun, penghargaan terbesar tentulah kepada rakyat Kedah sendiri. Kehadiran anda, sokongan anda, dan semangat anda menjadikan program ini hidup. Terima kasih semua!

Ruangan Komen:

Loading...