Penyerahan Kad Pengenalan kepada Anaknda Nurul Arini - Saifuddin Nasution
Penyerahan Kad Pengenalan kepada Anaknda Nurul Arini
May 15, 2025

Saya ada tengok satu video di TikTok, seorang anak muda ucap terima kasih kepada saya kerana katanya, proses permohonan kewarganegaraan beliau akhirnya selesai selepas sekian lama menunggu.
Saya tonton video tu dengan penuh rasa syukur dan terharu. Dan bila saya tahu saya akan berada di Negeri Sembilan hari ini, saya terus minta pegawai saya bantu aturkan pertemuan. Saya nak serahkan sendiri MyKad kepada beliau.
Anaknda Nurul Arini bukan orang lain. Beliau lahir di Malaysia, namun ditinggalkan ibu bapa kandungnya yang berketurunan Indonesia sejak 17 tahun yang lalu dan dibesarkan oleh keluarga angkat. Permohonan kewarganegaraan pertama dibuat pada tahun 2013, namun ditolak. Kali kedua pada 2018, dan saya peraku kelulusan itu pada 21 Februari 2023.
Hari ini, saya sendiri yang serahkan kad pengenalan kepada beliau dan yang lebih membanggakan bila saya dapat tahu anaknda Arini baru saja memperoleh keputusan 9A dalam SPM baru-baru ini. Saya yakin, dengan adanya kewarganegaraan ini, peluang beliau untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi akan jadi lebih luas dan mudah.
Saya juga sampaikan beberapa bantuan kepada beliau, termasuk laptop, printer, bantuan tunai, foodbank dan insyaAllah saya akan bantu pasangkan wifi di rumahnya untuk memudahkan proses pembelajaran.
Sempat saya berbual sekejap dengan Arini. Katanya dia bercita-cita nak sambung dalam bidang perubatan. Saya pesan, teruskan fokus pada pelajaran. Bab kewangan jangan risau, saya akan bantu usahakan sebaik mungkin.
Kes seperti anaknda Arini ini hanyalah satu daripada ribuan permohonan kewarganegaraan yang telah Kementerian Dalam Negeri (KDN) selesaikan. Di sebalik setiap permohonan, ada cerita dan harapan yang perlu direalisasikan. InsyaAllah, selagi kami diberi amanah, kami akan terus komited membantu yang berhak kerana setiap anak Malaysia berhak untuk bermimpi, dan lebih penting lagi, berhak untuk direalisasikan.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#KementerianDalamNegeri

Ruangan Komen:

Loading...