Perasmian Baitul Mahabbah Darulaman di Kuala Kedah - Saifuddin Nasution
Perasmian Baitul Mahabbah Darulaman di Kuala Kedah
November 11, 2024
Program saya yang ketiga hari ini adalah merasmikan Baitul Mahabbah Darulaman di Kuala Kedah, fasiliti ke-5 daripada enam premis yang disasarkan. InsyaAllah yang ke-6 akan dilancarkan di Johor Bahru tahun ini.
Baitul Mahabbah adalah inisiatif penting dalam memastikan perlindungan serta penjagaan bagi kanak-kanak berusia di bawah 10 tahun yang terlibat dalam kes penguatkuasaan imigresen, namun kini dapat ditempatkan dalam suasana yang lebih kondusif bersama penjaga mereka.
Setakat hari ini, terdapat 5 Baitul Mahabbah di bawah Jabatan Imigresen Malaysia yang mempunyai 234 tahanan wanita dan kanak-kanak di bawah usia 18 tahun. Baitul Mahabbah Darulaman yang saya rasmikan hari ini menjaga seramai 35 tahanan, di mana 20 orang daripadanya adalah kanak-kanak.
Kompleks Baitul Mahabbah ini menyediakan kemudahan lengkap seperti bilik kesihatan, ruangan aktiviti, dan sokongan perubatan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan NGO. Terdapat juga sumbangan daripada pihak korporat bagi membantu operasi kami.
Melalui inisiatif ini, Jabatan Imigresen memastikan kebajikan kanak-kanak terjaga selari dengan komitmen Malaysia kepada Konvensyen Hak Kanak-Kanak.
Komitmen kita bukan sahaja di mata dunia tetapi di hati rakyat Malaysia sendiri. Malaysia komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial bagi melindungi kumpulan rentan dan menambah baik pengurusan tahanan imigresen, termasuk pemulangan penghuni ke negara asal secepat mungkin dengan kerjasama kedutaan mereka.
Inisiatif Baitul Mahabbah ini diambil bukan sekadar untuk menepati standard antarabangsa, tetapi juga untuk menterjemahkan nilai ehsan dan simpati dalam pentadbiran kerajaan Madani.

Ruangan Komen:

Loading...