Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri (KDN)
August 25, 2025
Seawal pagi lagi, Dataran Kulim Bandar Baharu dibanjiri dengan masyarakat setempat. Ada yang datang bersama keluarga, ada yang hadir bersama sahabat handai, semuanya semata-mata untuk turut sama menjayakan Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Tahniah dan syabas kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selaku tuan rumah, serta seluruh agensi di bawah KDN yang hadir memberikan komitmen sepenuhnya.
Hakikatnya, Program Sua Mesra ini adalah platform untuk kita mendekatkan KDN dengan rakyat dan membuka ruang untuk masyarakat mengenali lebih dekat fungsi setiap agensi, memahami pelbagai inisiatif yang sedang berjalan, dan merasai sendiri peranan KDN dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan negara terjamin.
Apatah lagi, peluang untuk masyarakat awam bertemu dengan wira-wira APMM bukanlah sesuatu yang selalu ada kerana saban hari bertugas di lautan, mempertahankan perairan negara tanpa mengenal lelah.
Di penghujung program, saya turut menyempurnakan penyerahan dokumen kelulusan permohonan kewarganegaraan kepada mereka yang berjaya melepasi tapisan ditetapkan, serta menyampaikan bantuan foodbank buat keluarga yang memerlukan.
Harapan saya, biarlah program seperti ini terus menjadi jambatan yang merapatkan KDN dengan rakyat, agar masyarakat benar-benar faham peranan kita dan merasai sendiri kehadiran kementerian dalam kehidupan mereka.
 

Ruangan Komen:

Loading...