Setiap kali saya pulang ke Kedah, satu perkara yang saya pasti akan lakukan ialah mendengar sendiri suara dan aduan rakyat. Ada yang datang bersalaman, ada yang hulur sepucuk surat, ada yang bisikkan harapan, dan semuanya saya terima dengan hati terbuka.
Hari ini, saya sempat turun menziarahi dua buah rumah yang telah membuat permohonan untuk baik pulih. Satu di Kampung Keladi, milik Puan Zaleha binti Abdullah. Sebuah lagi di Kampung Syed Sheh, milik En Azrul bin Abu Bakar.
Kedua-duanya bukan sekadar permohonan atas kertas. Bila saya lihat sendiri keadaan rumah mereka, saya tahu permohonan ini bukan dibuat suka-suka. Salah satu rumah telah musnah hampir sepenuhnya dalam kebakaran. Sebuah lagi pula mengalami kerosakan serius iaitu atap bocor, dinding uzur, siling hampir runtuh dan ruang dalam rumah tidak lagi selamat untuk diduduki.
InsyaAllah, saya akan berusaha sedaya mungkin agar bantuan yang diperlukan dapat disegerakan. Ini bukan hanya tentang baik pulih rumah, tetapi ini tentang memberikan semula sedikit ketenangan kepada mereka yang saban hari hidup dalam keadaan serba kekurangan.
Doakan agar segala urusan dipermudahkan. Dan saya akan pastikan, suara rakyat yang saya dengar hari ini akan dibawa terus ke pihak yang boleh membantu.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
Ruangan Komen: